Sebutan kes Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo akan menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Peguam mewakili blogger itu, Logen Eskander berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara dan akan menghantar surat representasi berkaitan kes itu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun kandungan surat representasi kepada AGC itu tidak dapat dipastikan.

Ketika prosiding hari ini, Logen memohon kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Aminah Ghazali, tarikh sebutan baharu memandangkan pihaknya mahu menghantar representasi tersebut.

Hakim kemudian menetapkan tarikh 21 Ogos depan bagi sebutan kes.

Wan Muhammad Azri yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast