Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan beliau bukan soerang posmen untuk menerima bulat-bulat apa yang diberikan ahli dewan kepadanya.

Sebaliknya tegas beliau, apa sahaja yang diberikan seperti notis rasmi berhubung kekosongan kerusi disandang enam Ahli Parlimen BERSATU yang digugurkan keahlian mereka dalam parti telah dibuat kajian dengan mendalam.

Justeru beliau kekal dengan keputusan bahawa kekosongan tidak berlaku di semua Parlimen tersebut seperti diputuskan sebelum ini.

“Saya ingin merujuk kenyataan media yang dikeluarkan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Julai sebagai respons kepada surat saya 9 Julai di para 9.

“Sehubung itu Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah- langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti BERSATU.

“Perikatan Nasional mengingatkan semua parti politik dan ahli dewan rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara. Maka, tindakan YB Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela.

“Makna sikap yang Tan Sri yang ambil ke atas saya harus dicela. Saya sebut begini saya bukan posmen. Apabila saya menerima apa juga yang telah diberikan kepada saya, seperti yang disebutkan Beluran tadi. Saya akan memastikan dan kaji semua, saya baca semua kenyataan-kenyataan dalam pembinaan pindaan yang dibuat 49 (Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan) itu.

“Jadi saya mengambil keputusan yang kekal, seperti yang saya maklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai notis kepada Johari berhubung keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang didakwa tergugur secara automatik.

Namun pada 9 Julai lalu, Johari  memaklumkan bahwa Ahli Parlimen BERSATU itu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Enam ahli Parlimen adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Semalam pada sidang, Muhyiddin menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berkata BERSATU memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik beberapa pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan BERSATU.

Beliau mempertimbangkan untuk mengemukakan usul dalam sesi Dewan Rakyat esok bagi merayu keputusan berkenaan.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN Nenggiri kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi pada 13 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundi awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dulu kata kalau ahli dipecat dari parti mereka jadi bebas tidak kosong kerusi nya . mereka 6 orang itu tidak keluar parti. nak mengundi acap sangat guna duit bapk parti ke

Comments are closed.