(ARKIB) Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR- Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan pada saingan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dalam undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, mengetuai Kumpulan G bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian.

Sekiranya pemain kelahiran Kedah itu mengungguli peringkat kumpulan, Zii Jia berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting (kesembilan dunia) dalam pusingan 16 terbaik untuk memburu tempat di suku akhir.

Bagi acara perseorangan wanita, pemain profesional negara Goh Jin Wei dijadual membuka tirai saingan dalam Kumpulan H bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan, Johanita Scholtz.

Dalam pada itu Pearly Tan-M.Thinaah, ranking ke-13 dunia menghadapi tugas perit dalam saingan beregu wanita apabila berdepan pilihan utama dan pemenang pingat perak di Tokyo 2020 dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (No.6) dari Jepun dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (No.9) dari Indonesia dalam Kumpulan A.

Selain itu, wakil beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang membuat penampilan sulung Sukan Olimpik Paris turut berpeluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Turut berada dalam kumpulan sama adalah beregu dari Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai dan Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dari Singapura.

Dalam acara beregu wanita dan beregu campuran, dua pasangan teratas kumpulan mara ke peringkat suku akhir.

Dalam pada itu undian bagi acara beregu lelaki tidak diadakan pada hari ini apabila BWF memaklumkan yang ia akan dianjurkan pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Saingan badminton Olimpik Paris akan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena pada 27 Julai hingga 5 Ogos ini.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky optimis beregu campuran mampu melepasi peringkat kumpulan selain meminta beregu wanita Pearly-Thinaah menanam keyakinan tinggi untuk melepasi peringkat kumpulan pada temasya empat tahun sekali itu.

“Cukup peluang untuk lepasi peringkat kumpulan, bukan maknanya ia satu yang mudah di situ…ada peluang. Tang Jie-Ee Wei harus bersedia betul-betul dari segi mental, fikiran dan paling penting ialah jaga kesihatan,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast