Logo HRD Corp

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) didapati tidak mengalami sebarang kerugian apabila membatalkan pembelian Menara Ikhlas di Putrajaya, demikian menurut nota pembentangan pihak pengurusan kepada lembaga pengarah HRD Corp yang dilihat oleh media.

Dalam nota yang sama, pengurusan HRD Corp memaklumkan, firma guaman telah pun memulangkan deposit berjumlah RM120 juta bersama faedah sebanyak RM3.2 juta kepada pihaknya.

“Pendapat audit adalah kurang tepat kerana pihak HRD Corp telah mengikuti proses yang betul selaras dengan klausa Perjanjian Jual Beli dan tiada kerugian yang dilaporkan,” kata nota berkenaan.

Semalam, Khairy Jamaluddin yang pernah menerajui tiga kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, terdapat kelemahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sehingga mengakibatkan beberapa penemuan dalam laporan yang didedahkan tidak tepat.

Katanya, antara kelemahan tersebut melibatkan julat masa audit yang disiasat dan metodologi yang diguna pakai.

Mengulas lanjut mengenai pembelian hartanah itu, nota yang sama turut menyebut, HRD Corp telah mendapat kelulusan untuk pembayaran deposit melalui ratifikasi pada 8 Februari 2022.

“Keputusan untuk menukar firma guaman oleh mana-mana pihak adalah hak atau keputusan pihak itu sendiri dan tidak memerlukan persetujuan dan kebenaran pihak lain.

“HRD Corp ingin menegaskan bahawa Klausa 30 Perjanjian Jual Beli hanya terpakai apabila terdapat perubahan atau penambahan terma kepada Perjanjian Jual Beli yang melibatkan kedua-dua pihak,” menurut nota itu lagi.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 sebelum ini antaranya mengesyorkan agar Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

Laporan tersebut antaranya mendedahkan terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

PAC turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast