Seorang anggota penguat kuasa mengarahkan pintu premis dibuka dalam operasi bersepadu di Brickfields malam tadi. Foto AIZAT ZAINAL, 12 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Berpura-pura mengadu sakit jantung dan bersembunyi di dalam almari, itu antara helah digunakan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelakkan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi bersepadu dekat Brickfields, malam tadi.

Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya terpaksa membuka gari seorang PATI selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas sebaik sahaja ditahan di sebuah apartment.

“Dia adalah antara 40 PATI yang ditahan berusia antara 3 hingga 61 tahun kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk pasport perjalanan tamat tempoh dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

“Dari jumlah itu, seramai 25 warganegara India, Sri Lanka (10), Pakistan (2), Myamnar (2) dan seorang Bangladesh,” katanya selepas mengetuai operasi bersepadu JIM menggempur sebuah apartment di Brickfields, di sini, malam ini.

Operasi bersepadu kesalahan tinggal di Malaysia setelah permit dibatalkan atau tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 15, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Foto AIZAT ZAINAL, 12 JULAI 2024.

Operasi bersepadu itu yang bermula jam 12 tengah malam itu bagaimanapun berakhir jam 3 pagi tadi.

Wan Mohammed Saupee berkata, dalam operasi itu, seramai 122 warga asing telah diperiksa dan ia hasil risikan pihaknya selama dua minggu susulan aduan awam.

“Kesemua 40 PATI yang ditahan itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih dari enam kali sebatan,” katanya.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu di Brickfields malam tadi.

Selain itu katanya, ada PATI yang melakukan kesalahan tinggal di Malaysia setelah permit dibatalkan atau tamat tempoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 15, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya lagi, kesemua 40 PATI yang ditahan akan dihantar ke depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast