KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meningkat pada minggu hadapan kepada 4.65 berbanding dolar AS, disokong oleh petunjuk ekonomi yang positif, kata bank pelaburan.
Kenanga Investment Bank Bhd berkata, petunjuk tersebut termasuklah keadaan pasaran buruh yang stabil, nilai jualan perdagangan pengedaran yang mencatat rekod tertinggi dan status quo Bank Negara Malaysia mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Ini telah membantu mengukuhkan ringgit, membolehkannya mengatasi kekuatan dolar AS dan meningkat lebih daripada 0.4 peratus dari Khamis ke Khamis,” katanya dalam nota penyelidikan Prospek Mingguan Ringgit.
Ia turut menyatakan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) domestik yang kukuh untuk Mei 2024 yang dikeluarkan pada Jumaat, bersama dengan jangkaan awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh untuk suku kedua 2024 (S2 2024) pada minggu hadapan, juga mungkin akan meningkatkan prospek ekonomi Malaysia.
Dari segi pendapat teknikal, dengan kemungkinan jualan runcit AS yang lebih lemah dan kenyataan berdiplomasi oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, pergerakan ringgit mungkin boleh bergerak ke 4.65 berbanding dolar AS walaupun aktiviti pengambilan untung mungkin akan mengehadkan kenaikan itu.
Sepanjang minggu urus niaga, kadar pertukaran ringgit dan dolar AS bergerak di antara paras terendah 4.713 pada 9 Julai hingga paras tertinggi 4.668 pada 12 Julai.
Sejak awal tahun hingga kini, ringgit muncul sebagai mata wang kedua berprestasi terbaik di rantau Asia, mengalami penyusutan sederhana sebanyak 1.56 peratus berbanding dolar AS, di belakang rupee India yang menurun 0.37 peratus berbanding dolar AS.
Dolar Brunei dan dolar Singapura masing-masing menyaksikan penurunan 1.70 peratus, manakala rupiah Indonesia susut 4.57 peratus dan peso Filipina jatuh 5.15 peratus berbanding dolar AS.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit mengalami sedikit pembetulan kerana ia sudah berada dalam keadaan terlebih beli berdasarkan carta teknikal.
“Sehubungan itu, ringgit akan berlegar sekitar RM4.67 hingga RM4.68 berbanding dolar AS,” katanya.
Beliau menambah tumpuan pada minggu hadapan adalah pada data KDNK China bagi suku kedua 2024 pada 15 Julai, laporan Indeks Harga Pengguna Kesatuan Eropah pada 17 Julai dan keputusan dasar monetari Bank Pusat Eropah pada 18 Julai.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.6700/6730 berbanding dolar AS daripada 4.7065/7110 pada minggu sebelumnya.
Ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.
Unit tempatan itu meningkat berbanding euro kepada 5.0838/0870 daripada 5.0953/1001, tetapi rendah berbanding pound Britain kepada 6.0481/0520 daripada 6.0182/0240 pada Jumaat lalu dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9338/9359 daripada 2.9286/9315 pada minggu sebelumnya.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.00 berbanding 8.04/8.05 seminggu sebelumnya tetapi jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 289.3/289.7 daripada 289.1/289.5.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4768/4793 daripada 3.4876/4912 tetapi menurun berbanding baht Thailand kepada 12.9023/9160 daripada 12.8646/8818 pada Jumaat sebelumnya. – BERNAMA