ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut tersepit di tempat duduk pemandu manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Forest City, Gelang Patah di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 8.45 malam itu mengakibatkan mangsa yang memandu kereta Honda Civic, Colineric Bruitche, 31, beralamat di Taman Sejahtera Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penguasa Bomba Kanan II Hairul Azwii Esrah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.50 malam.
“Berikutan itu seramai 16 anggota dengan masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan itu berlaku semasa empat sahabat itu dalam perjalanan menghala ke Lebuhraya Tanjung Pelepas keluar ke Forest City sebelum hilang kawalan dan kereta tersebut terbalik.
“Pemandu berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan ‘stetcher’,” katanya satu dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pihak bomba dalam masa kira-kira 10 minit namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, tiga rakan mangsa iaitu R Arulmani, 34, R Yogesh, 26, dan K Tanaruban, 33, mengalami kecederaan.
Tambah Hairul Azwii, operasi tersebut selesai pada pukul 9.52 malam. – MalaysiaGazette