Logo HRD Corp

Dalam ucapan penggulungan ke atas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dikeluarkan kepada umum pada 4 Julai lalu di Parlimen pada 10 Julai, Menteri Sumber Manusia Steven Sim menegaskan bahawa dia tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam salah urus Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

“Sekiranya siasatan yang dijalankan menjurus kepada mana-mana individu tertentu bersalah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya tidak kira berpangkat menteri, timbalan menteri, pengurusan tertinggi ataupun siapa-siapa sekalipun. Tetapi, jangan pula kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya.

Sebelumnya, dia juga telah mengambil langkah yang tidak pernah diambil sebelum ini, yakni dalam masa 24 jam mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Wira Shahul Hameed Dawood menyerahkan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) secara rasminya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, Steven Sim juga mengumumkan KESUMA akan melantik juruaudit profesional sebagai pihak ketiga bagi melakukan audit bebas yang akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu yang dibangkitkan ke atas HRD Corp dengan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya 31 Julai ini.

Ada pemimpin PN yang mendakwa isu ketidakteraturan pengurusan HRD Corp merupakan skandal terbesar yang berlaku dalam negara ketika ini dan ia boleh dikatakan sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mendakwa rakyat mahu tahu mengapa HRD Corp menggunakan dananya untuk melabur sedangkan ia bukan matlamat penubuhannya.

Ini merupakan satu kekeliruan besar kerana Seksyen 27 Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan HRD Corp untuk melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan kumpulan wang amanah mengikut prosedur dan tatakelola di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

Oleh itu, HRD Corp tidak melakukan apa-apa kesalahan bila membuat pelaburan. Apatah lagi bila dilaporkan bahawa HRD Corp mencatatkan keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga 31 Disember 2023 di mana ini melibatkan 98.7% daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion. Keuntungan nyata daripada pelaburan HRD Corp setakat 31 Disember 2023 pula adalah RM106 juta.

Jika kepada dilihat Syor Audit di dalam LKAN 2/2024 ada rujukan kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi ketakteraturan yang dikenal pasti, tetapi ketakteraturan yang dinyatakan secara spesifik dalam Penemuan Audit hanyalah membabitkan “kelulusan pembaharuan pelaburan ekuiti” di mana Maklum Balas HRD Corp adalah disebabkan Subseksyen 7(3) Akta PSMB 2001 belum dapat dipenuhi HRD Corp telah bergantung kepada Seksyen 50 Akta PSMB 2001 untuk mendapat kelulusan tersebut.

Satu lagi ketakteraturan yang dinyatakan secara spesifik ialah “proses pembayaran deposit bagi pembelian hartanah Menara Ikhlas berjumlah RM120 juta” di mana Maklum Balas HRD Corp adalah ia membayar deposit kepada pihak berkepentingan kerana pihak penjual masih belum mendapat hak milik tanah dan setelah pihak penjual gagal untuk membuktikan hak milik, ia telah mengarahkan pemulangan deposit yang telah dibayar termasuk faedah sebanyak RM3.2 juta.

Selain itu, ada dibangkitkan penemuan 3,726 peserta Skim Gerak Insan Gemilang mengikuti latihan lebih daripada sekali di bawah skim yang sama serta 234 permohonan peserta Skim Gerak Insan Gemilang yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan yang sama di mana Maklum Balas HRD Corp adalah peserta yang menghadiri lebih daripada satu latihan berbuat begitu atas desakan keperluan peningkatan kemahiran semasa pandemik Covid-19. Perkara ini juga difahamkan telah dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp.

Satu aspek yang tidak mendapat perhatian banyak pihak ialah, di sebalik siasatan yang dibuat, Kedudukan Kewangan HRD Corp di dalam LKAN 2/2024 dinyatakan positif di mana Kenyataan Kewangan Beraudit dalam Laporan Tahunan HRD Corp untuk tahun 2023 menyebut “HRD Corp mencatatkan keuntungan sebelum cukai bagi tempoh tahun 2020 hingga 2022”, “Peningkatan pendapatan yang diperoleh daripada keuntungan pelaburan, akaun simpanan tetap dan caj perkhidmatan kepada penyedia latihan telah menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai bagi tempoh tiga tahun tersebut” dan “Keuntungan terkumpul setakat 31 Disember 2022 berjumlah RM389.95 juta”. Ini satu perkara yang perlu diberi pujian.

Sekarang ini ada Ahli Parlimen PH tertentu yang menggesa Shahul digantung tugas serta merta dengan mengaitkan lantikan beliau dahulu dibuat ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri sedangkan walaupun lantikan itu dibuat ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) ia dibuat oleh MIC yang kini sebahagian daripada Kerajaan MADANI.

Mungkin ini ada kaitan dengan cerita sewaktu Shahul dilantik sebagai CEO HRD Corp oleh Datuk Seri M Saravanan bagi menggantikan Elanjelian Venugopal pada April 2020, ada pihak yang mempersoalkannya tetapi Saravanan mempertahankan Shahul yang dijelaskan adalah cucu Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha, salah seorang pengasas dan Naib Presiden MIC.

Tegasnya, semua pihak sepatutnya perlu berlapang dada dan tidak dipengaruhi oleh emosi atau sentimen politik kepartian dalam memberikan komen mereka ke atas isu ini. Dalam bidang undang-undang kita ada prinsip ‘innocent until proven guilty’, iaitu seseorang yang dihadapkan ke mahkamah tidak boleh lagi dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya.

Sekarang ini apa yang berlaku masih siasatan yang mengikut SPRM menjurus kepada unsur jenayah bukannya isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan yang telah pun dijelaskan dan diperkemas oleh pengurusan HRD Corp. SPRM sendiri pun menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan. Kita tunggu sahaja hasil siasatan diumumkan.

Elakkan dari mencadangkan perkara yang bukan-bukan seperti menghapuskan HRD Corp kerana, seperti ditegaskan oleh Steven Sim, “jangan pula kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.”

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast