KUALA LUMPUR – Tahap kecekapan digital dalam kalangan guru di negara ini terus diperkasakan dengan jumlah warga pendidik pada kategori pertengahan mencatatkan peningkatan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memberitahu, kemas kini analisis kecekapan digital guru mencatatkan 74.73 peratus atau 84,818 orang berada pada tahap pertengahan sehingga 30 Jun lalu.
Menurut beliau, jumlah guru pada tahap asas pula mencatatkan penurunan kepada 23.53 peratus atau 84,818 orang manakala 1.37 peratus atau 6,246 lagi berada di tahap lanjutan.
“Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan tahun lalu menitikberatkan beberapa teras atau bahagian untuk mempertingkatkan kualiti dan prestasi, termasuk murid fasih digital, pendidik cekap digital dan pembangunan infrastruktur.
“Justeru, setiap tahun KPM melakukan saringan tahap kecekapan digital ke atas warga pendidik bagi memastikan mereka mempunyai tahap kompetensi yang tinggi,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai isu kemiskinan digital dalam kalangan guru pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Kajian Tahap Kompetensi Digital Guru yang dilaporkan menrusi dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023, mendapati hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan manakala pertengahan (39.9 peratus) dan asas (57.9 peratus).
Koh Wah menambah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melaksanakan latihan kecekapan digital bagi memastikan guru dihantar ke negeri masing-masing kompeten dan dapat mengadaptasi teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menurut beliau, ia menjurus kepada domain kecekapan pembelajaran digital seperti digariskan The European Framework for the Digital Competence of Edicators.
“Semua domain dijelmakan dalam bentuk kurikulum program pendidikan di IPGM dan KPM memberi komitmen untuk merealisasikan teras seperti dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Digital.
“Selain itu, pasukan petugas khas ditubuhkan khusus bagi membangunkan pendidikan digital dan mencapai hasrat dalam dasar berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Kah Woh memaklumkan sebanyak 68,056 unit komputer riba diedarkan kepada 3,455 sekolah di seluruh negara, membabitkan kos bernilai RM424.95 juta tahun lalu.
“Sebanyak 69,604 unit komputer riba pula sudah diagihkan kepada 3,885 sekolah di seluruh negara, membabitkan kos bernilai RM451.41 juta, tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette