KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024, yang bertujuan menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan.
RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan 20 Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sesi penggulungan RUU itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan RUU itu akan dikuatkuasakan secepat mungkin.
“Pindaan Akta Perubatan pada 2012 mengambil masa lima tahun dalam penubuhan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Daftar Pakar (NSR).
“Komitmen saya, atas apa yang dimahukan (Ahli Parlimen) yang lain untuk kita segera mewujudkan dan meluluskan bukan saja akta ini tetapi lebih penting untuk letakkan siapa yang layak dan berhak untuk segera didaftarkan sebagai pakar.
“Kita akan lakukannya dalam waktu sesegera mungkin, bukan lima tahun tapi sesegera mungkin,” katanya.
Menjawab isu dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen berhubung jaminan kualiti pakar dan program sarjana serta ‘parallel pathway; susulan RUU itu, Dr Dzulkefly menegaskan, kedua-dua program itu memerlukan kelulusan dan pengiktirafan bersama oleh anggota Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Katanya, ia terdiri daripada pakar institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pakar perubatan daripada KKM serta swasta, seperti yang diperuntuk mengikut Perkara 14B(3)(a).
Ujarnya, kedua-dua program itu bukan saja perlu memenuhi standard minimum latihan kepakaran perubatan tetapi juga piawaian berdasarkan kepakaran lebih spesifik yang ditetapkan MMC, sebelum diberikan pengiktirafan.
“Proses pengiktirafan dan kelulusan latihan kepakaran baharu yang disediakan IPT tempatan akan juga diselaraskan dengan proses akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya proses itu dikemas kini, yang sifatnya arus perdana, bukan bekerja secara silo.
“Inilah yang kita mahukan, keterjaminan kualiti itu, bukan saja ditentukan dalam aliran umum proses dan jangan lagi ada yang cuba untuk pertikaikan graduan, terutama yang sedang mengamalkan (pakar yang sedang berkhidmat),” katanya.
RUU Perubatan (Pindaan) 2024, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin lalu, antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada MMC untuk mengiktiraf kelayakan dan latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.
Pindaan Akta Perubatan 1971 bertujuan menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.
Ia juga memberi kuasa kepada MMC untuk melantik mana-mana pengamal perubatan berdaftar untuk mewakili majlis dalam apa-apa jawatankuasa, panel atau institusi yang orang itu kemudiannya membuat syor kepada majlis mengenai semua perkara berhubung dengan kelayakan pegawai perubatan atau pengawalseliaan amalan perubatan. – MalaysiaGazette