KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera menjalankan usaha membawa pulang para pelajar Malaysia yang berada di Bangladesh ekoran protes yang kian memuncak di negara itu ketika ini.
Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Danial Alimin berkata, ia termasuk menyediakan penerbangan khas atau sebarang bentuk pengangkutan yang sesuai untuk memastikan pelajar-pelajar itu dapat pulang dengan selamat.
Jelas beliau, kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk menyediakan dana kecemasan atau sokongan kewangan lain bagi membantu pelajar-pelajar terkesan yang mungkin memerlukan bantuan logistik dan kewangan untuk kembali ke Malaysia.
“Komunikasi yang jelas dan terperinci perlu diberikan kepada pelajar-pelajar dan keluarga mereka mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan.
“Ini termasuk maklumat mengenai tarikh dan waktu pemindahan serta prosedur keselamatan yang perlu diikuti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhammad Danial, GPMS juga menyeru kedutaan Malaysia di Bangladesh memainkan peranan proaktif dalam mengurus dan memantau keadaan pelajar-pelajar di sana.
Jelasnya, bantuan daripada pihak kedutaan amat penting untuk memastikan proses pemindahan berjalan lancar.
“GPMS percaya keselamatan pelajar-pelajar kita adalah tanggungjawab bersama dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan mereka dilindungi dalam situasi yang mencabar ini.
“GPMS berharap tindakan segera dapat diambil untuk mengatasi masalah ini dan memastikan pelajar-pelajar kita dapat pulang dengan selamat ke tanah air,” katanya.
Protes di Bangladesh ketika ini semakin meruncing dengan amaran keselamatan tahap tinggi dikeluarkan untuk seluruh negara itu, susulan pertempuran ganas antara pelajar dan polis yang meragut banyak nyawa.
Ia berikutan golongan pelajar menuntut dihentikan sistem kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan dalam sektor awam untuk ahli keluarga veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971. – MalaysiaGazette