KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melahirkan rasa bangga kerana dapat melihat Sarawak muncul sebagai antara yang terbaik di mata dunia dalam perkembangan ekonominya.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kejayaan itu dicapai di tengah-tengah kekayaan warisan budaya Sarawak, kepelbagaian etnik dan bahasa sehingga keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Bagaimanapun, jelas Menteri Kerja Raya berkenaan, perjalanan Bumi Kenyalang itu dalam mencapai kedudukannya pada hari ini bukanlah sesuatu yang mudah.
“Negeri Sarawak telah mengalami pelbagai perubahan sosio politik dan ekonomi sejak ditubuhkan.
“Usaha keras dan pengorbanan bukan sahaja datang dari kalangan pejuang Sarawak tetapi juga rakyat Sarawak secara keseluruhannya bagi membawa peningkatan pembangunan, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik di negeri tercinta ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Penduduk Sarawak hari ini menyambut Hari Sarawak ke-61 bertemakan Sarawak Maju Makmur dengan Bintulu menjadi tuan rumah bagi acara rasmi sambutan tersebut.
Sambutan itu sempena hari peringatan penubuhan kerajaan pertama Sarawak pada 1963 dengan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri pertama. – MalaysiaGazette