KUALA LUMPUR – Seramai 123 orang rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh telah selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada hari ini, pada jam 11.23 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.
Kementerian Luar Negeri berkata, kesemua mereka sedang dalam perjalanan untuk pulang ke tanah air.
Mereka dijangka tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 5.10 petang waktu Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mewakili perdana menteri, bersama timbalannya, Datuk Mohamad Alamin, yang mewakili Menteri Luar Negeri dan Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi akan menyambut ketibaan mereka.
Menurutnya, beberapa rakyat Malaysia telah memutuskan untuk kekal di Bangladesh.
Antaranya, pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di Bangladesh.
“Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan, serta memastikan semua rakyat Malaysia di Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan,” kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan di sini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu.
Ketegangan di Bangladesh susulan ribuan pelajar mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai lalu berikutan keputusan mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.
Protes itu menyebabkan Kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi yang mengorbankan lebih 130 nyawa.
Kementerian Luar Negeri berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka telah menyelaraskan proses ini dengan kerjasama yang rapat daripada Kerajaan Bangladesh.
Tambahnya, Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan berkesan. – MalaysiaGazette