Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil beramah mesra pada majlis pelancaran Digital School Pillar oleh U Mobile di CCEC Nexus Bangsar South.Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi, U Mobile hari ini memulakan projek rintis dengan memperkenalkan sekolah digital di sekolah kerajaan yang fokus kepada manfaat pendigitalan pendidikan.

Ketua Bahagian Perusahaan Digital U, Mobile Eddie Quek berkata, sebagai permulaan, pihaknya bekerjasama dengan empat buah sekolah kerajaan dengan bantuan Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar dan Pudu bagi melancarkan projek rintis ekosistem tanpa tunai untuk sekolah-sekolah kerajaan.

Ia, katanya, bertujuan untuk meningkatkan tahap kecelikan pengurusan kewangan dan pengurusan wang pintar menerusi platorm pembayaran digital.

“Ia akan membolehkan pelajar di sekolah kerajaan melaksanakan transaksi tanpa tunai di sekolah seperti membayar makanan di kantin atau membeli barangan di koperasi dan kedai bukuĀ  menggunakan kad menyerupai Touch n Go yang dilengkapi identiti pelajar.

“Ini salah satu kaedah yang kini inisiatifkan untuk memastikan pelajar mempersiapkan diri berdepan dunia ekonomi digital dan pada masa sama ibu bapa boleh mengawasi perbelanjaan anak-anak mereka disamping memupuk amalan pengurusan wang lebih cekap pada usia muda,” katanya selepas pelancaran Sekolah Digital oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di sini hari ini.

Tambah Eddie, ia juga membawa manfaat kepada pengurusan sekolah, para guru dan rakan sekolah apabila boleh membuat dan menerima pembayaran tanpa tunai menerusi proses lebih lancar dan operasi secara tersusun.

Beliau bangga pihaknya dapat bertindak pantas menjadi penyedia perkhidmatan pendigitalan dalam bidang Pendidikan khususnya sekolah kerajaan menerusi Program Sekolah Digital Bersama U Mobile.

“Buat permulaan ini, kita memilih empat sekolah dari daerah ini dan akan melaksanakan pendigitalan ini selama tempoh setahun bermula dari pelancaran hari ini.

“Kita akan terus menilai memantau keberkesanan serta sejauh mana ia dapat diadaptasi sepenuhnya oleh para guru, ibu bapa di sekolah kerajaan dan berdasarkan hasil itu kita akan meneliti kaedah untuk memperluaskannya lagi.

“Sememangnya kita ada aspirasi untuk memperluaskan program ini ke sekolah-sekolah lain di Lembah Klang dan sebagainya namun ia bukan begitu mudah seperti disangkakan khususnya melaksanakan sekolah-sekolah kerajaan sebab ia terikat dengan banyak protokol dan memakan proses panjang untuk dilaksanakan tetapi kami optimis merealisasikannya kelak.

“Kita akan melihat projek rintis yang dimulakan sekarang di empat sekolah ini di mana pada awal ini kita melihat sambutannya menggalakkan yang para ibu bapa dapat mengadaptasikan dengan baik ke dalam sistem ini pada hari pertama pra pelancaran memperkenalkan sistem ini,” ujarnya lagi.

Apa yang penting dan menjadi keutamaan pihaknya adalah membina kepercayaan dan keyakinan terhadap program yang diperkenalkan dalam kalangan sekolah kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast