Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bercakap pada Temubual Eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT di KPKT Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencatatkan pencapaian memberangsangkan bagi separuh tahun ini apabila berjaya mencapai 85 peratus pelaksanaan ke atas 10 daripada 12 inisiatif yang digariskan setakat Jun lalu.

Pencapaian itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM739.7 juta daripada keseluruhan Belanjawan 2024 dan berjaya dilaksanakan dalam tempoh hanya enam bulan.

Lebih membanggakan, beberapa inisiatif berjaya dilaksanakan melebihi 100 peratus daripada sasaran antaranya menaik taraf dan membaik pulih sistem perparitan dan longkang yang mencapai 183 peratus pelaksanaan.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, inisiatif lain yang berjaya dicapai melebihi sasaran adalah projek menyelenggara kolam takungan banjir (182 peratus) dan program gerai Madani (172 peratus).

Selain itu, kata beliau, KPKT setakat ini juga telah membelanjakan sebanyak RM150 juta untuk menaik taraf tandas awam; menukar lampu jalan kepada jenis LED (RM50 juta); menaik taraf pasar awam (RM50 juta) dan menyelenggara serta menggantikan lif (RM146.6 juta).

“Pencapaian ini merupakan jalinan kerjasama dan komitmen yang tinggi semua jabatan dan agensi di bawah KPKT dalam mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam sesi eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT 2024 bersama media di sini hari ini.

Pencapaian separuh tahun KPKT itu merangkumi lima perkara iaitu Inisiatif Belanjawan 2024, Kerangka Strategik Malaysia MADANI (KSMM), Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), Program Sentuhan Kasih KPKT dan Perancangan Penggubalan dan Pindaan Akta.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, di bawah inisiatif TFST, sebanyak 247 projek sakit dan lima projek terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sejumlah RM19.13 bilion berjaya dipulihkan tahun ini setakat Jun lalu.

Jelas beliau, ia merupakan sebahagian daripada 704 projek sakit dan terbengkalai dengan GDV berjumlah RM58.94 bilion yang berjaya dipulihkan KPKT sejak Januari 2023 hingga Jun lalu.

“Pencapaian ini merupakan usaha dan kerjasama KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara dengan pihak berkepentingan untuk menangani masalah projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming menambah, antara pencapaian terbesar KPKT juga adalah Program Sentuhan Kasih iaitu inisiatif menyantuni rakyat dengan menggunakan pendekatan turun padang.

Katanya, sejak diperkenalkan tahun lalu, sebanyak 27 program telah dilaksanakan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.467 bilion meliputi kos projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur awam yang dilaksanakan oleh agensi serta jabatan di bawah KPKT di seluruh negara. – MalaysiaGazette