Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Ogos di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 5 OGOS 2024
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 5 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Perdana Menteri mahu penjawat awam mempunyai peranan penting dalam membantu meningkatkan prestasi menjana kejayaan negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan mengiktiraf peranan penting mereka kerana sejak kebelakangan ini negara banyak mendapat pengiktirafan catatan kemajuan dari segi ekonomi termasuk pengukuhan ringgit berbanding 14 tahun lalu serta peningkatan kekuatan terbaik di Asia.

“Kejayaan ini tentu kerana politiknya lebih stabil, kemudian dasar dan kerangka lebih jelas.

“Tetapi satu elemen sangat penting untuk jelaskan ialah kerana kita mempunyai budaya tradisi perkhidmatan awam yang banyak berusaha membantu meningkatkan prestasi menjamin kejayaan (negara).

“Walaupun tidak banyak di uar-uarkan tetapi itu kenyataannya,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon hari ini.

Semalam, Anwar berkata, mata wang ringgit pada masa ini dilihat berada pada tahap terkuat dalam tempoh 14 tahun kerana dasar Kerajaan Perpaduan dan muafakat membangunkan negara secara bersama.

Malah mata wang itu yang sering dipertikaikan pembangkang kononnya sedang merudum sebenarnya telah memperlihatkan aspek pemulihan positif di bawah pentadbiran kerajaan pada masa ini. – MalaysiaGazette