GOMBAK – Kerajaan akan meminda Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan lebih tegas ke atas pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun mereka tidak menyebabkan kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan pindaan itu dilakukan kerana kesalahan pemandu positif dadah sama seperti pemandu menggunakan alkohol berlebihan.
“Undang-undang sedia ada ini belum cukup tegas terhadap pemandu yang mengambil dadah kerana kita hanya boleh mendakwa mereka sekiranya dia mengakibatkan kemalangan jalan raya tetapi kalau seseorang pemandu itu dikesan jadi penagih dadah tetapi tidak atau belum ada kemalangan, dia tidak boleh didakwa hanya boleh digantung lesen sahaja.
“Ini perkara yang saya rasa kita perlu kaji balik, sebab kita tidak mahu tunggu sampai kemalangan berlaku baru ambil tindakan terhadap pemandu tersebut dan mereka ini perlu disenarai hitam daripada sistem kita termasuk jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian Program Pemantauan Operasi Khas Berserady Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam bersama Jabatan Pengangkutn Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa JPJ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, cadangan untuk meminda Akta 333 akan dibawa ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selaras perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.
Pada masa ini Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (AKTA 333) masih terdapat kelompongan yang khususnya tindakan terhadap pemandu yang positif dadah.
Menurutnya, di bawah seksyen itu hanya memperuntuk maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun terhadap pemandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.
“Bagaimanapun, saya ingin nasihatkan juga kepada syarikat pengendali perlu melakukan saringan dalaman terhadap pemandu mereka secara berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.
“Ini bagi mencegah pemandu yang berisiko mengambil kenderaan mereka kerana kita tidak boleh memeriksa 100 peratus setiap kenderaan dan pemandu tetapi operasi ini sudah tentu akan diteruskan,” jelasnya.
Anthony juga memaklumkan cadangan pindaan itu dilakukan susulan kemalangan treler merempuh sebuah rumah hingga menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang.
Difahamkan, pemandu treler berusia 40 tahun yang berseorangan itu dipercayai di bawah berada pengaruh dadah. – MalaysiaGazette