CALON BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani bersama-sama jentera parti tersebut pada PRK DUN Nenggiri, di Gua Musang, Kelantan. - Pic: FB Azmawi Fikri

KUALA LUMPUR – Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya DAP dan PKR tidak wajar terlibat sama sekali dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada jentera UMNO.

Pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, selain faktor majoriti pengundi Nenggiri merupakan orang Melayu, keputusan pada PRK Sungai Bakap bulan lalu juga perlu dijadikan pengajaran.

Menurut Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, adalah jelas pada PRK Sungai Bakap, pengundi Melayu menolak DAP dan PKR yang diterjemah menerusi majoriti luar biasa yang diperoleh calon Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut.

 

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling.

Malah, ujar beliau, kehadiran jentera PKR dan DAP juga akan mewujudkan persepsi UMNO akan terus kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) iaitu sesuatu yang masih sukar diterima ahli-ahli UMNO sendiri.

“Jadi adalah lebih baik ahli atau pemimpin PKR atau DAP menjauh daripada PKR Nenggiri ini.

“Kehadiran mereka sudah pasti akan dieksploitasi oleh pembangkang bagi menakut-nakutkan orang Melayu termasuk ahli UMNO sendiri bahawa parti itu akan kekal bekerjasama pada PRU-16.

“Walaupun UMNO atau Barisan Nasional (BN) belum mengikat apa-apa perjanjian rasmi dengan PH menjelang PRU-16, namun ia boleh dengan sengaja digambarkan oleh pembangkang sebagai hala tuju ke arah sebuah gabungan parti,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sebelum ini, BN menafikan mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan mana-mana Unit Daerah Mengundi (UDM) BN menjemput empat individu termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk tampil di pentas ceramah sepanjang PRK Nenggiri.

Semalam, Rafizi dilaporkan berkata, adalah lebih baik UMNO mengetuai kempen bagi PRK Nenggiri kerana parti itu lebih tahu tentang kawasan Nenggiri dan Gua Musang.

Dalam pada itu, Mohamad Faisol berkata, UMNO perlu agresif untuk menjelaskan kepada pengundi Nenggiri berhubung kerjasama dengan PH bagi mengelak ia terus dijadikan modal politik yang tidak menguntungkan mereka.

Ujar beliau, UMNO perlu menjelaskan pakatan dengan PH itu adalah satu bentuk kerjasama sementara yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya sebuah Kerajaan Pusat dapat dibentuk.

Dalam masa sama, katanya, UMNO juga perlu mengingatkan pengundi Nenggiri yang mana kerjasama parti itu dengan PH adalah lebih longgar berbanding kerjasama Pas dengan DAP-PKR sebelum ini.

“Kerjasama Pas dengan DAP-PKR sebelum ini lebih kuat yang mana Pas ketika itu sanggup mengetepikan perjuangan hudud.

“Berapa ramai juga penyokong Pas ketika itu yang membawa bendera DAP dan mengubah suai jubah dengan berlogokan DAP-PKR?

“Di sini, UMNO perlu memperluaskan hujah dengan memberikan penerangan kerjasama PH-BN sekarag tidak seperti kerjasama Pas dengan DAP-PKR suatu ketika dulu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast