Logo Majlis Keselamatan Jalan Raya

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa supaya melindungi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) daripada dibatalkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) susulan kegagalan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) sejak 2019.

Aktivis Keselamatan Jalanraya, Shahrim Tamrin berkata, MKJR yang dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memilik ratusan ahli-ahli di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Beliau mendakwa, atas sebab-sebab misteri sejak 2019, MKJR tidak mengadakan mesyuarat agungnya hingga menyebabkan hala tuju majlis itu kabur.

Ini ditambah dengan pembubaran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia pada April 2020 yang kini diletakkan sebagai sebuah unit di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Semangat ahli-ahli MKJR telah luntur sejak 2019 dengan ketiadaan mesyuarat agung tahunan.

“Malah ada ahli yang sudah meletakkan jawatan di MKJR negeri setelah melihat puluhan usul dan resolusi para perwakilan MKJR dipandang sepi.

“Ini termasuk idea-idea baharu dan usahasama strategik termasuk juga usul dari Polis Diraja Malaysia bagi menangani masalah ‘mat rempit’.

“Kini menjadi tanda tanya di kalangan ahli-ahli MKJR, adakah MKJR masih lagi sebuah pertubuhan NGO yang sah kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan sejak lima tahun kebelakangan?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Shahrim mencadangkan, semua MKJR negeri dan NGO berkaitan mengadakan kerjasama supaya usaha menyelamatkan nyawa di jalan raya menjadi agenda penting dan menarik dalam kalangan pengguna jalan raya.

Katanya, ahli-ahli MKJR yang berpengetahuan dan berpengalaman luas perlu dilibatkan untuk berkomunikasi kepada media, masyarakat dan seterusnya terlibat dalam Jawatankuasa Peringkat Kabinet mengenai keselamatan dan kesesakan jalan raya.

Beliau turut mencadangkan supaya ditubuhkan satu pasukan khas bagi melaksanakan Pelan Keselamatan Jalan Raya bagi tempoh tujuh tahun akan datang dengan tumpuan kepada lima daerah yang mencatatkan rekod kematian terburuk di Malaysia.

“(Perlu) Mendapatkan khidmat nasihat ‘campaign manager’ untuk melaksanakan pelan komunikasi berkesan bagi jangka pendek (setahun), jangka sederhana (3 tahun) dan jangka panjang (sehingga tahun 2030),” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast