Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Foto MOHD ADZLAN 15 JULAI 2023.

Pada 5 Ogos lalu telah berlangsung di Putrajaya pelancaran sebuah badan pemikir baru bernama “The Future Research (FUTURE) yang merupakan sebuah organisasi penyelidikan dasar global dan konsultasi yang memulakan operasinya pada 1 Disember 2023.

Walaupun baru ditubuhkan, FUTURE telah menjalin hubungan global untuk meneroka potensi kerjasama dengan lebih daripada 15 rakan negara. Delegasi daripada 7 negara juga telah hadir ke majlis pelancaran dan ianya dapat memupuk kerjasama dan perkongsian masa hadapan bersama FUTURE.

FUTURE dibarisi oleh Ir. Mohamed Ajmel Hafiz Jamaludin sebagai Pengerusi, Prof. Ir. Dr. Ahmad Ashrif A Bakar dan Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid sebagai Pengarah serta saya sebagai Pengarah Urusan manakala seramai 39 felo pakar tempatan dan antarabangsa dari wilayah Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah yang telah dilantik sebagai felo FUTURE.

FUTURE juga menerima kehadiran tetamu istimewa iaitu Yang Terutama Ailsa Terry, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, dan Yang Terutama Danielle Heinecke, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia yang turut sama hadir di dalam majlis pelancaran FUTURE.

Perbincangan dan Interaksi: Ucaptama dan intipati ucapan yang disampaikan mengenai geopolitik, perdagangan antarabangsa dan ekonomi global.

Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Berdaya Tahan Menghadapi Ketidakpastian Geopolitik & Ekonomi” yang menggariskan visi beliau ke hadapan untuk Malaysia.

Ucapan Dr. Ahmad Samsuri menekankan cabaran mendesak pada ketika ini dan menggariskan pendekatan strategik untuk mengemudi ketidakpastian ini.

Kunci persoalan dasar yang dibangkitkan ialah: Apakah langkah strategik yang boleh dilaksanakan oleh negara dalam meningkatkan daya tahan terhadap konflik geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, dalam masa yang sama memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kestabilan sosial?

Initipati Penting Ucaptama Dr. Ahmad Samsuri ialah:

  1. Menangani Cabaran Geopolitik dan Alam Sekitar

Dr. Ahmad Samsuri menekankan bahawa konflik geopolitik pada ketika ini, isu alam sekitar dan sumber, risiko keselamatan dan isu kesihatan memberi impak yang ketara kepada hubungan antarabangsa. Cabaran pelbagai penjuru ini mempengaruhi proses membuat keputusan dalam kedua-dua sektor samaada sektor perniagaan dan sektor kerajaan, dengan beberapa masalah yang kelihatan tidak dapat diatasi. Beliau menekankan kepentingan menilai keupayaan dan cabaran unik setiap negara sebagai pendekatan ke hadapan. Segala polisi atau dasar yang sama untuk semua negara dalam banyak situasi dilihat tidak bertepatan untuk dilaksanakan.

  1. Pemulihan Strategik untuk Ketahanan

Dr. Ahmad Samsuri menekankan berkenaan keutamaan untuk  menangani isu yang lebih besar kesannya terlebih dahulu. Sebagai contoh, bagi Terengganu, meningkatkan dan mengukuhkan ekonomi negeri melalui inisiatif seperti kredit karbon untuk mengurangkan jumlah kebergantungan kepada industri minyak dan gas dan mengubah minda masyarakat ke arah kemampanan adalah kunci utama ke hadapan. Beliau juga menekankan peranan penting pendidikan dalam memperkukuh daya tahan tenaga kerja dan keperluan dan komitmen dalam memberikan penekanan kepada pendidikan adalah sentiasa diutamakan.

  1. Memanfaatkan Kekuatan Unik Malaysia

Dr. Ahmad Samsuri juga menekankan kelebihan demografi Malaysia dalam industri halal, menyokong penggunaan wakaf sebagai engin utama dalam pelaburan. Beliau mengulangi keperluan komitmen negara terhadap daya tahan dan kejayaan yang dicapai melalui komposisi pelbagai etnik. Penyelesaian, katanya, sentiasa dalam jangkauan; kini adalah soal memilih dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.

Selain itu, Dr. Ahmad Samsuri menggesa usaha bersepadu untuk mengemudi geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi melalui penyelesaian khusus dan komitmen untuk pertumbuhan yang mampan.

Prof.  Dr.  Hussain Mohi-Ud-Din Qadri, salah seorang Felo Penasihat Kanan FUTURE yang merupakan penerima Anugerah Duta Keamanan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak dua kali diterima di Vienna, Austria dan Cape Town, Afrika Selatan, turut berbesar hati menyampaikan ucapan. Beliau, yang berkhidmat di Minhaj University Lahore, Pakistan, menghuraikan berkenaan kesan mendalam geopolitik dan perpaduan daripada kalangan negara-negara Islam yang boleh wujud melalui dinamika perdagangan global. Wawasan beliau menekankan kepentingan perpaduan rohani, identiti kolektif, dan integrasi ekonomi untuk kemakmuran dunia Islam.

Initipati Penting Ucapan Prof.  Dr.  Hussain ialah:

  1. Identiti Rohani dan Kolektif sebagai Asas Utama

Prof. Dr. Hussain menjelaskan bahawa cabaran yang dihadapi oleh dunia Islam bukan semata-mata sosial atau politik tetapi berakar umbi dalam kelemahan rohani. Perpaduan berpandukan Syariah adalah penting untuk menghubungkan dunia Islam, menyelaraskan kemajuan sains dengan nilai agama, dan menghidupkan semula identiti kolektif. Bukti sejarah juga mencadangkan bahawa kemuncak dunia Islam dicapai pada ketika bimbingan Islam ditegakkan.

  1. Integrasi Ekonomi dan Kebergantungan yang Perlu Dikurangkan

Prof. Dr. Hussain menekankan bahawa integrasi yang lebih besar daripada kalangan negara-negara Islam boleh mengurangkan kebergantungan kepada negara Eropah dengan lebih ketara. Dengan bersatu di bawah nilai Islam, pemimpin Islam boleh menyokong dan mengukuhkan sektor ekonomi dalam dunia Islam. Saling bergantungan ekonomi antara negara-negara Islam membawa kepada kemakmuran bersama, pengenalan zon perdagangan khusus dan mengharmonikan dasar perdagangan, memperkemas peraturan serta mengurangkan halangan.

  1. Mengoptimumkan Sumber dan Memperkukuh Daya Tahan

Mengiktiraf dan memanfaatkan kelebihan setiap negara Islam dalam meningkatkan perdagangan antara wilayah dan mengurangkan kebergantungan ekonomi. Prof. Dr. Hussain menekankan kepentingan menyelaraskan rangka kerja kawal selia, menstabilkan standard kualiti, dan melabur dalam infrastruktur bersama. Penyelarasan ini boleh mengurangkan kos keseluruhan, mewujudkan pasaran integratif, dan memudahkan sikap saling mempercayai dan memahami berdasarkan perkongsian agama dan nilai budaya.

Dr. Aakash Mohpal, wakil daripada World Bank Group, iaitu selaku Ahli Ekonomi Kanan dari East Asia and Pacific Chief Economist Office (EAPCEO), juga memberikan ucapan bertajuk “Firm Foundation of Growth: Finding from the World Bank’s East Asia & the Pacific (EAP) Economic Update”. Dr. Aakash menekankan berkenaan cabaran dan peluang pertumbuhan Malaysia dengan menggariskan perkembangan ekonomi landskap di rantau Asia Pasifik Timur. Beliau memberikan pandangan kritikal berkenaan trajektori pertumbuhan rantau ini selepas wabak, menekankan kepentingan dasar yang mantap untuk mengharungi cabaran ekonomi semasa.

Initipati Penting Ucapan Dr. Aakash ialah:

  1. Perbezaan Pertumbuhan dan Cabaran Pasca Pandemik

Dr. Aakash menyatakan bahawa walaupun rantau Asia Pasifik Timur mengatasi wilayah lain dalam pertumbuhan ekonomi, kadarnya telah perlahan berbanding tahap pra-pandemik. Rantau ini menghadapi halangan ketara, termasuk sekatan perdagangan dan langkah perlindungan, yang telah menghalang pertumbuhan yang kukuh sebagaimana dahulu. Beliau turut menekankan bahawa pertumbuhan negara tidak boleh dipandang remeh dalam berhadapan cabaran ini.

  1. Kedudukan Malaysia dan Dinamika Serantau

Di sebalik potensinya, Malaysia masih belum muncul sebagai peneraju pertumbuhan serantau. Kemajuan ekonomi negara dihalang oleh faktor-faktor seperti peningkatan langkah-langkah penyelewengan perdagangan, keadaan kewangan yang ketat, dan hutang awam dan swasta yang semakin meningkat. Peningkatan dalam perlindungan global, terutamanya dalam kalangan ekonomi yang lebih kaya dan lebih besar, telah merumitkan lagi keupayaan Malaysia untuk mengeksport dan berkembang.

  1. Syor Dasar untuk Pertumbuhan Mampan

Walaupun rantau Asia Timur dan Pasifik telah mengalami pertumbuhan yang ketara dalam pendapatan per kapita, mengatasi kebanyakan ekonomi membangun lain, namun  pertumbuhan ini telah didorong terutamanya oleh pelaburan dan bukannya produktiviti. Untuk menggiatkan semula ekonomi rantau ini, beliau mengesyorkan dasar yang berani untuk meningkatkan persaingan, menambah baik infrastruktur dan pembaharuan pendidikan.

Tambah Dr. Aakash, kekuatan kesatuan dagangan dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan negara umat Islam akan mengurangkan kebergantungan kepada negara – negara Eropah dalam teknologi, tenaga pakar, sumber manusia, dan lain lain. Ujar beliau, kesatuan ini mesti diharmonikan melalui sistem dagangan yang dipermudah dan lebih efisien dalam kalangan negara umat Islam bagi membentuk kekuatan ummah. Beliau menegaskan itulah konsep perpaduan ummah.

Impak Majlis Pelancaran: Pelancaran ini telah menyediakan platform untuk perkongsian kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa yang lebih luas termasuk penyelidikan kolaboratif, pertukaran kepakaran untuk pengenalan dasar dan polisi, perbincangan meja bulat, berkongsi kepakaran dalam latihan dan pembangunan. Perbincangan dan persetujuan yang dibuat semasa majlis tersebut dijangka dapat memacu kemajuan yang ketara untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang penyelidikan.

Kerjasama Antarabangsa: Dalam majlis pelancaran ini juga FUTURE menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan wakil dari 4 negara, menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam kerjasama antarabangsa melibatkan penyelidikan dan perundingan. MoU ini adalah melibatkan  Minhaj University Lahore, Pakistan; The MENA Center for Research Development and Internship, Amman, Jordan; Institut Penyelidikan Asia Tenggara, Universiti Jinan, Guangzhou, Chin;a serta American Open Science Philosophy, New Mexico, Amerika Syarikat.

Peluang Rangkaian: FUTURE menyediakan platform untuk membina rangkaian dan perhubungan di kalangan jemputan daripada dalam dan luar negara. Penawaran empat perkhidmatan teras oleh FUTURE kepada pasaran, iaitu Penyelidikan dan Pembangunan, Latihan dan Konsultasi, Penerbitan Jurnal, dan Dialog, Persidangan, dan Meja Bulat, menunjukkan komitmen FUTURE terhadap kecemerlangan penyelidikan, pandangan yang bernas, cadangan dasar yang berimpak dan kolaborasi yang menarik.

Langkah ke hadapan: FUTURE komited untuk meneruskan momentum yang dihasilkan melalui majlis pelancaran ini dan akan melaksanakan strategi yang telah dirancang dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan penyelidikan negara.

Prof. Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Pengarah Urusan The Future Research (FUTURE)