Calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani. Foto FB Azmawi Fikri.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani bertekad untuk terus berjumpa seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Memetik laporan portal UMNO Online, Mohd. Azmawi berkata, pendekatan itu serta pelbagai lagi kempen yang akan diteruskan bertujuan memastikan penduduk serta masyarakat di DUN Nenggiri membuat pilihan tepat dengan mengundi BN pada 17 Ogos depan.

“Alhamdulilah… setakat ini dah pergi semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan pusingan pertama boleh dianggap selesai, kini memasuki pusingan kedua saya akan terus lipat gandakan lagi usaha,” katanya di PDM Jeram Tekoh, Gua Musang, semalam.

Turut serta pada kempen itu ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Mohd. Azmawi Fikri atau lebih dikenali panggilan ‘Awie’ menambah, kepelbagaian strategi pada pusingan kedua kempen adalah tertakluk kepada keadaan semasa.

“Soal strategi dan sebagainya kita perlu berpijak di bumi nyata dan akan jumpa seramai mungkin… lipat gandakan lagi jumpa pengundi. Begitu juga kempen menerusi media sosial dan sebagainya, insya-Allah akan terus dipergiatkan,” ujarnya.

Pada PRK Nenggiri itu, Mohd. Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan akan menentang calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo Pas, Mohd. Rizwadi Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK Nenggiri diadakan pada 17 Ogos ini dengan seramai 20,259 pengundi berdaftar layak mengundi membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM). – MalaysiaGazette