KUALA LUMPUR – Siri Program Jelajah Belanjawan 2025 Peringkat Negeri dimulakan dengan sesi libat urus bersama wakil industri elektrikal dan elektronik (E&E) di Kulim Hi-Tech Park, Kedah hari ini.
Sesi tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.
Menurut kenyataan Kewangan Kewangan, program berkenaan dianjurkan untuk mendapatkan respon dan saranan daripada semua pihak berkepentingan supaya penggubalan Belanjawan Negara dapat merangkumi pelbagai aspek sekaligus mempercepatkan momentum pertumbuhan Malaysia.
“Tidak dinafikan bahawa Kulim Hi-Tech Park — dan negeri Kedah secara amnya telah menjadi tumpuan bagi pemain-pemain industri E&E yang secara langsung merupakan salah satu enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Bagi memastikan Malaysia menggapai wawasan ‘Menaikkan Siling’ ekonomi negara, kerajaan ingin memastikan industri E&E di Kedah dapat meningkatkan kedudukannya di rantaian
nilai global dengan memperhebatkan lagi nilai tambah serta penyelidikan dan pembangunan (research and development; R&D),” katanya.
Sesi Libat Urus tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Terdahulu, Anwar turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah fasiliti terbaharu Infineon Technologies AG di Kulim Hi-Tech Park.
Tambah beliau, industri E&E telah meningkatkan kepelbagaian sumber ekonomi di negeri jelapang padi tersebut sekaligus memberi lebih peluang pekerjaan dalam kalangan anak jati.
“Kerajaan berharap industri ini akan menjadi salah satu tonggak utama untuk mencapai wawasan ‘Menaikkan Lantai’ kualiti hidup rakyat negeri Kedah dalam jangka sederhana,” katanya.
Siri Program Jelajah Belanjawan 2025 akan disusuli dengan hentian-hentian di seluruh negeri dalam beberapa bulan akan datang, termasuk Perak, Johor, Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette