MADINAH – Beruntungnya mana-mana jemaah yang mengikuti umrah pada bulan kelahiran mereka apabila diraikan dalam satu majlis.
Majlis diadakan di Ladang Kurma Aryaf Taibah berkonsep ala Arab, dengan dihiasi lampu neon waktu malam, menu nasi Arab kambing dan ayam, rata-rata melahirkan rasa syukur dan gembira.
Dimulakan dengan sesi tazkirah ringkas sebagai pengisian bagi menguatkan lagi rasa tawadduk pada kebesaran ALLAH SWT disusuli kesemua jemaah menunaikan solat Isya berjemaah.
Majlis serba ringkas ini secara tidak langsung merapatkan silaturrahim 25 jemaah yang mengikuti trip umrah 31 Julai hingga 12 Ogos.
Biarpun acara ini tiada di dalam tentatif seperti kebiasaan, inilah inisiatif baharu yang diambil oleh syarikat pengendali umrah Fa Izin Travel & Tours untuk menyantuni jemaah-jemaah mereka.
Bagi salah seorang yang diraikan, ustaz Adam Darwisy Celemans yang juga merupakan mutawif atau pembimbing jemaah bagi trip kali ini berkata, sambutan ini sangat-sangat meninggalkan momen terindah buatnya.
“Gembira rasanya dapat meraikan bersama-sama jemaah di bawah kendalian saya.
“Dalam pada kita melakukan ziarah di tempat-tempat sejarah, dapat pula makan bersama-sama, lagi seronok ia diadakan di ladang kurma,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, wakil Fa Izin Travel & Tours, ustaz Mohamad Hasnol Abd Halim berkata, sambutan hari lahir ini adalah sebagai penghargaan buat para jemaah.
“Ia adalah kali pertama diadakan tetapi insya-Allah akan dijadikan acara tambahan kepada Fa Izin selepas ini.
“Kami sentiasa mahukan yang terbaik buat para jemaah dan diharapkan apa yang telah diadakan ini akan diingati semua nanti,” katanya.
Jelasnya, tiada lagi mana-mana syarikat pengendali umrah yang melakukan perkara seumpama ini.
“Kami mahu malam terakhir Jemaah berada Madinah akan memberikan kenangan lebih indah dah diingati.
“Semoga usaha kecil ini akan memberi nilai tambah kepada jemaah,” ujarnya. – MalaysiaGazette