Ravee (dua dari kanan) menunjukkan perbezaan produk kesihatan yang palsu dan yang asli pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Jalan Ampang di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang usahawan produk penjagaan kesihatan kerugian lebih RM200,000 selepas produknya dipalsukan oleh satu sindiket penipuan (scammer) menggunakan laman sosial sejak Julai lalu.

Lebih malang lagi, apabila pihak berkenaan menipu pelanggan-pelanggan beliau dengan menyatakan syarikat terbabit telah bankrap dan produk kesihatan yang ada, kini dijual dengan diskaun sehingga 50 peratus.

Pemilik produk kesihatan berkenaan yang juga Pengarah Urusan Tasly Marketing (M) Sdn. Bhd, Datuk Dr P. Ravee berkata, dia menyedari perkara itu selepas mendapati jualan produknya menyusut daripada kebiasaan.

Katanya, sindiket terbabit telah mencuri profil syarikatnya di laman sosial dan kemudian membuat iklan palsu.

“Sindiket ini telah membuat satu data di sebuah laman internet kononnya mereka adalah agen kami dan kemudian mengongsikannya di laman sosial.

“Orang ramai yang pernah membeli produk kami atau pun sesiapa sahaja yang melihat iklan itu akan menjadi keliru.

“Apabila mereka menekan iklan yang terpampang mangsa akan terus pergi ke laman web palsu mereka hingga ada yang terbeli produk kesihatan terbabit dengan harga yang sangat murah,” katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, di sini hari ini.

Ravee berkata, berdasarkan maklumat yang disebarkan di laman web itu, sindiket terbabit telah menjual produk palsu tersebut dengan harga bermula RM79 hingga RM80 selain ditawarkan satu botol yang diberikan secara percuma.

Produk yang dijual oleh sindiket itu juga berbeza daripada yang asli iaitu berbentuk pil tidak seperti produknya yang berupa kapsul, katanya.

Selain itu, produk palsu menggunakan penutup botol berwarna putih tidak seperti yang asli selain, tidak disertakan sebarang maklumat berkaitan produk serta tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berwaijb.

Beliau menjelaskan, berdasarkan pemerhatian, pihaknya turut mendapati sindiket terbabit membuat produk palsu itu di China.

Bagaimanapun katanya, beliau belum memutuskan untuk membawa produk palsu itu ke jabatan kimia bagi mengenal pasti kandungannya serta impaknya kepada pengguna.

Ujar beliau, tindakan seumpama itu mungkin akan dilakukan sekiranya sindiket terbabit tidak menghentikan perbuatannya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penjualan produk palsu yang menggunakan jenama syarikatnya bagi mengelak mereka mengalami mudarat pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya melihat sindiket seperti itu menggunakan modus operandi dengan menyasarkan syarikat-syarikat besar kerana mempunyai pelanggan yang ramai.

Beliau berkata, pihaknya sangat mengambil serius mengenai perkara itu dan berharap agar orang ramai yang melihat iklan seperti itu supaya membuat laporan kepada pihak keslematan siber di 1-300-88-2999 agar tindakan segera dapat diambil.

“Laporan yang dibuat akan disiasat oleh polis melalui jenayah komersil dan dengan langkah itu lebih ramai yang mungkin bakal menjadi mangsa dapat diselamatkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast