LONDON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag menegaskan kekalahan skuadnya kepada Manchester City dalam Piala Perisai Komuniti awal pagi tadi sukar untuk diterima kerana dia merasakan United banyak membazir peluang.
United terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas dikecewakan menerusi sepakan penalti dengan jaringan 6-7 yang memihak kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris.
Jadon Sancho dan Jonny Evans antara pemain yang gagal menjaringkan gol menentang Manchester City dari sepakan penalti.
Ten Hag kecewa dengan keputusan negatif dalam perlawanan itu dan mengatakan kekalahan ini terasa amat perit.
“Ia satu keputusan yang sukar untuk kami terima. Bila anda menunjukkan persembahan bagus tetapi anda keluar dengan kekalahan sudah tentu semua orang akan merasakannya.
“Kami dapat menandingi Man City dengan meletakkan Rashford di posisi yang agak tinggi di atas padang. Kami juga dapat bertahan dengan baik.
“Pasukan kami juga ada mencipta peluang. Dalam penguasaan bola kami juga mempunyai beberapa peluang yang baik, jadi terdapat banyak perkara positif yang boleh kami ambil tetapi seharusnya kami keluar sebagai pemenang,” katanya Ten Hag kepada ITV. – MalaysiaGazette