JOHOR BAHRU – Tindakan pengilang menukar bungkusan biskut cap Ping Pong daripada tin besi besar kepada kotak kertas menimbulkan reaksi hangat dalam kalangan warganet.
Ada yang membangkitkan masalah “masuk angin” dan ada yang bimbang kemungkinan tikus menggigit kotak kertas, tetapi ramai yang lebih mengambil berat akan soal nostalgia.
Tin biskut besi yang dipamerkan di kedai runcit merupakan satu permandangan yang sinonim dengan Malaysia dan ramai orang Malaysia pasti pernah membeli biskut tersebut.
Namun, keadaan itu mungkin tinggal kenangan selepas ini apabila pengeluar utama mula menggantikan tin besi kepada kotak kertas.
China Press melaporkan, JB Yap Brothers Food Sdn. Bhd. telah berkongsi bahawa pengeluar biskut Hup Seng berhenti menggunakan tin besi, tetapi menggantikannya dengan kotak kertas.
Difahamkan, selain biskut cap Ping Pong, Hup Seng juga akan menukarkan tin besi untuk jenama-jenama biskut lain keluarannya.
“Semua stok baharu akan menggunakan kotak kertas dan tidak akan ada tin besi lagi selepas ini,” kata seorang pemborong.
Katanya, peruncit sebelum ini perlu membayar cagaran RM13 untuk setiap tin besi yang boleh digunakan berulang kali.
Pemborong itu percaya pengilang membuat keputusan untuk menukar tin besi kepada kotak kertas kerana masalah kerosakan selain pihak kedai yang menggunakan tin tersebut untuk produk jenama lain.
Katanya, peruncit kini bimbang soal kelembapan atau masuk angin kerana terdapat kedai yang menjual secara pek kecik dan kotak kertas tidak boleh ditutup rapat selepas dibuka.
Tambahnya, ada syarikat pengeluar biskut yang terus mengekalkan penggunaan tin besi kerana bimbang pengguna tidak dapat menerima biskut yang disimpan dalam kotak kertas.
Ujarnya lagi, disebabkan faktor nostalgia, ada pengguna yang membeli tin besi besar untuk tujuan kenang-kenangan.