Gambar hiasan

KUALA LUMPUR  – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sindiket pelaburan yang menggunakan nama syarikat Warburg Pincus yang melibatkan kerugian lebih RM21.9 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini, pihaknya telah membuka sebanyak 44 kertas siasatan berhubung kes terbabit.

Tambah beliau, pihaknya juga membuat tangkapan ke atas 10 individu tempatan termasuk lima wanita dalam beberapa serbuan pada 30 dan 31 Julai lalu.

“Kesemua suspek berusia 21 hingga 52 tahun itu ditahan sekitar di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak. Mereka berperanan sebagai pemilik syarikat, perniagaan dan pengarah syarikat bagi menjayakan kegiatan tersebut.

“Dengan menggunakan nama syarikat pelaburan terkemuka dunia iaitu Warburg Pincus untuk meyakinkan mangsa, kita percaya mereka telah beroperasi sejak awal tahun ini menerusi  Facebook dan WhatsApp.

“Iklan promosi pelaburan itu dibuat menggunakan sistem algorithma Facebook dengan menawarkan pulangan setinggi 11 hingga 15 peratus sebulan kepada pelabur.

“Sindiket juga menawarkan khidmat ‘cikgu trading’ untuk membimbing pelabur dan meminta mereka memuat turun aplikasi palsu yang dihantar melalui pautan WhatsApp,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Ramli, mangsa kemudian diarahkan mendepositkan wang ke akaun keldai atas nama syarikat dan perniagaan sebelum boleh memulakan pelaburan.

Namun pada akhirnya, kesemua mangsa terlibat dalam pelaburan itu tidak dapat membuat sebarang pengeluaran daripada keuntungan tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita telah merampas sebanyak lapan telefon bimbit, satu kad ATM dan salinan dokumen pendaftaran syarikat terbabit.

“Selain itu, sejumlah 20 akaun bank milik pelbagai perniagaan dan syarikat telah dikenalpasti disalahgunakan sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa terlibat,” katanya.

Susulan itu, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sehingga kini, siasatan telah berjaya membuat penyitaan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 terhadap 35 akaun bank bernilai lebih RM162,000.

Tegas beliau, apa jua bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan dan tidak perlu ada kegusaran atau pertimbangan kepada perkara itu kecuali ia adalah outright cheating.

Ramli juga menyeru agar masyarakat faham dan jelas berkenaan perkara tersebut dan sekiranya ingin membuat pelaburan, mereka perlu melalui skim pelaburan yang diiktiraf oleh badan-badan penguat kuasa pelaburan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast