KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasa Martim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C di kedudukan lebih kurang 38 batu nautika dari muara Tok Bali, Kelantan pada Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dilakukan oleh bot peronda milik agensi itu yang sedang melaksanakan rondaan dalam Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
Beliau memaklumkan, vesel berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 12.40 tengah hari sebelum ditahan untuk diperiksa 15 minit kemudiannya.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima orang kru termasuk tekong disyaki warga negara Thailand berumur diantara 36 hingga 53 tahun sedang bekerja diatas vesel tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Ewan Shah, kesemua kru termasuk tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit bekerja yang sah ketika diminta.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati vesel tidak mempunyai dokumen kebenaran menggunakan pekerja kru warga asing dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Vesel dan kesemua kru termasuk tekong kemudiannya diiring masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Ewan Shah berkata, kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah. – MalaysiaGazette