Empangan Teluk Bahang menyusut 30 peratus susulan taburan hujan rendah serta penggunaan air yang tinggi dalam kalangan pengguna.

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau telah menyusut di bawah paras 30 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, ia susulan taburan hujan rendah dan penggunaan air yang tinggi dalam kalangan pengguna.

Jelas beliau, pengguna air di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran harus mengambil perhatian susulan kapasiti efektif empangan yang memberikan perkhidmatan kepada mereka adalah rendah pada bulan ini.

“Sehubungan itu, kita memohon kerjasama pengguna untuk mengurangkan penggunaan air sehingga tiba musim hujan iaitu pada September ini.

“Kita menjangkakan hujan yang ketara bulan depan namun disebabkan oleh perubahan iklim, jumlah taburan hujan adalah tidak menentu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, empangan Air Itam menunjukkan pengurangan dalam kapasiti efektif daripada purata 0.82 peratus atau 17.61 ML sehari pada Julai lalu kepada 0.51 peratus atau 11.0 MLmsehari dalam 12 hari pertama bulan ini.

“Ini disebabkan hujan di Kawasan Tadahan Air (KTA) Empangan Air Itam yang mana sepanjang Julai lalu, PBAPP merekodkan hanya 48mm hujan di KTA berbanding 36mm dalam 12 hari bulan ini.

“Namun begitu, taburan hujan tambahan memperlahankan penurunan kapasiti efektif empangan.

“Jumlah taburan hujan yang direkodkan setakat ini tidak dapat meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam kerana PBAPP melepaskan purata 22.16JL sehari dari empangan untuk memenuhi permintaan air di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran,” katanya.

Bagi Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang, Pathmanathan berkata, 18,240 JL atau 8.45 kali ganda kapasiti efektif dengan Empangan Air Itam.

“Data menunjukkan bahawa pengurangan kapasiti berkesan Empangan Teluk Bahang telah berubah daripada purata 0.31 peratus atau 57.10 JL sehari bulan lalu kepada 0.27 peratus atau 48.33 JL sehari untuk bulan ini.

“Ini disebabkan hujan di KTA Empangan Teluk Bahang sepanjang Julai lalu hanya 47mm berbanding 84mm dalam 12 hari pertama bulan ini.

“Seperti dalam kes Empangan Air Itam, hujan tambahan dalam 12 hari pertama bulan Ogos tidak mencukupi untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang ia susulan PBAPP melepaskan purata 68.06JL sehari dari Empangan Teluk Bahang untuk bulan ini bagi memenuhi permintaan air di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pathmanathan memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 9 Ogos lalu bahawa mereka sedang menunggu nasihat dan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk menjalankan operasi pembenihan awan di Pulau Pinang.

“NADMA juga menyatakan bahawa operasi pembenihan awan adalah tertakluk kepada ketersediaan pesawat TUDM.

“Selain itu, kakitangan PBAPP juga bersiap siaga 24 jam sehingga kapasiti efektif semua empangan Pulau Pinang kembali normal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast