UIAM Kuantan dinobatkan Johan Pertandingan Debat Piala Rakan Muda 2024.

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) telah menganjurkan pertandingan Debat Piala Rakan Muda 2024 (DPRM 2024).

Pertandingan yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan itu turut melibatkan Sekretariat Rakan Muda UPSI (SRM UPSI) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan pengelola.

Tema bagi penganjuran sulung ini Mendepani Cabaran Belia Madani itu menekankan konsep pembangunan belia di Malaysia.

Ia dipilih sesuai dengan usaha memartabatkan belia ke arah pemikiran kritis bagi melahirkan belia yang sedar akan kebertanggungjawaban mereka dalam membangun sebuah negara maju dengan pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi, kata UPSI dalam kenyataan.

Pertandingan berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos lalu dan pusingan awal hingga separuh akhir telah dijalankan di Kompleks Akademik, UPSI manakala pusingan akhir beserta majlis penutupan berlangsung di Panggung Percubaan UPSI.

Tetamu jemputan bergambar bersama semua pemenang.

Dalam pusingan akhir, pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan berjaya menarik minat panel hakim untuk dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Debat Piala Rakan Muda 2024 dengan usul Penguasaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Belia adalah Menyedihkan mengetepikan cabaran pendebat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,500 beserta trofi johan dan piala pusingan.

Dua pendebat UIAM, Nurin Zayani dan Muhammad Arif Hakimi turut menerima Anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dan Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta trofi.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Nur Hashiqin dalam ucapannya merasmikan pertandingan itu turut berpuas hati dengan penganjuran pertandingan tersebut dan ianya sangat bertepatan dengan matlamat KBS dalam keterlibatan belia membangun bersama Malaysia melalui kepelbagaian aktiviti yang bukan sahaja menjurus kepada program sukan, katanya.

Menurutnya, belia seharusnya meneroka sisi-sisi lain yang mampu meningkatkan prestasi dan masa depan mereka dalam pelbagai bidang dan kemahiran yang mereka miliki.

Program seperti ini seharusnya menjadi acara tahunan dengan lebih banyak tema yang perlu diketengahkan demi pembangunan belia di Malaysia, tambahnya.

Dengan jolokan danaan KBS sebanyak RM20,000, ia antara jumlah terbesar sokongan kementerian kepada Kolej Ungku Omar, UPSI dan Sekretariat Rakan Muda UPSI dalam menjayakan pertandingan.

Sejumlah RM7,100 hadiah wang tunai terkumpul telah berjaya diterima oleh pasukan yang berjaya termasuklah pasukan debat Universiti Malaysia Kelantan selaku Naib Johan yang menerima wang tunai RM1,500., Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat di tempat ketiga dan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di tempat keempat masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan berbangga dan berasa teruja dengan penganjuran program berkenaan kerana ia diuruskan oleh mahasiswanya, Mohd Lutfi Radzi selaku Pengarah Program dengan bimbingan Safwan Sarifbudin selaku felo penasihat.

“Walaupun pertama kali dianjurkan ianya mendapat sambutan daripada rakan universiti awam dan swasta seluruh negara,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast