Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Ramlan Harun.- Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

GUA MUSANG – Jumlah keluar menggundi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang mencapai 40.43 peratus pada pukul 11 pagi tadi disifatkan sebagai menggalakkan.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun, berdasarkan waktu, bilangan tersebut lebih tinggi berbanding beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Saya mengharapkan agar pengundi yang belum keluar menggundi dapat keluar lebih awal untuk memastikan tidak tergendala. Mungkin petang nanti kita tidak boleh jangka, hujan ataupun tidak.

“Dengan trend menggundi ini saya mengharapkan peratusan menggundi akan tinggi di setiap saluaran tidak kira tua atau muda,” katanya kepada media ketika melawat salah sebuah pusat pengundian.

Menurutnya, berdasarkan trend tersebut sasaran jumlah pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab melebihi 60 peratus berbanding pada Pilihan Raya Negeri yang lalu 60.3 peratus mungkin akan dicapai.

Sementara itu Ramlan berkata, setakat ini pihaknya menerima satu aduan secara rasmi melibatkan bahan kempen.

“Ia melibatkan kesalahan kecil yang kita telah ambil perhatian. Poster itu tidak mengikut peraturan. Itu sahaja. Kami mengambil berat isu-isu berkaitan. Kita harap ia tidak berlaku pada masa akan datang,” jelas beliau.

Sementara itu SPR juga telah bertindak menyediakan kemudahan perahu untuk mengambil pengundi yang terperangkap dalam kejadian banjir di Batu 11 ke pusat pengundian awal pagi ini.

Katanya, air di kawasan berkenaan bagaimanapun telah surut dan pengundi boleh keluar mengundi seperti biasa sambil menambah keputusan rasmi dijangka akan diumumkan pada pukul 9 malam ini.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo Pas.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Sebanyak 20 pusat pengundian membabitkan 46 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, dibuka serentak pada jam 8 pagi ini.

PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast