Anwar (dua kanan) dan Onn Hafiz (tengah) melawat booth selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan dam Setahun Ekonomi Madanit di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri berkata, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 2.0 akan diteruskan dengan peruntukan RM18 juta.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, skim insurans berkenaan melibatkan seramai 300,000 penerima.

Jelasnya, skim insurans itu mula diperkenalkan tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penerima khususnya masyarakat B40.

“Melihatkan kepada keberkesanan skim ini serta manfaat yang diterima daripada waris-waris apabila ketua isi rumah (KIR) mereka meninggal dunia maka insurans ini diteruskan pada tahun ini.

“Perlindungan selama 12 bulan ini akan diberikan kepada KIR yang terdiri daripada penerima golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran SIKR 2.0 selepas merasmikan Majlis Penutup Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Skim insurans berkompok itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memberi perlindungan takaful percuma kepada ketua isi KIR yang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar apabila berlaku kemalangan atau kematian.

Anwar berkata, perlindungan SIKR 2.0 ermula 1 Jun lalu hingga 31 Mei tahun depan.

Menurut beliau, setiap waris yang menerima skim insurans berkenaan masing-masing akan mendapat bantuan berjumlah RM10,500.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui berharap pelaksanaan skim insurans tersebut akan diperluaskan lagi pada masa depan.

Seorang pengunjung, Mohd Faiz Abu Bakar berpendapat, skim insurans berkenaan amat membantu golongan B40 dan rakyat bawahan.

“Sekurang-kurangnya sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini kepada ketua keluarga, waris akan terima bantuan,” ujarnya.

Seorang lagi pengunjung, Sharipah Norashida Sharisdin berkata, keluarganya bersyukur atas apa yang dinyatakan Perdana Menteri dan diharap dapat membantu semua golongan B40.- MalaysiaGazette