PUTRAJAYA – Tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur dijangka mampu menampung pengebumian jenazah bagi tempoh empat hingga enam tahun sahaja lagi.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bagi mengatasi isu itu, pandangan-termasuk fatwa baharu diperlukan.
Pada masa sama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh melihat pengalaman negara jiran iaitu Singapura yang menguruskan jenazah walaupun mereka sebuah negara yang kecil.
“Kita ada isu yang besar kawasan tanah perkuburan Islam yang terhad khususnya di kawasan bandar. Jadi sudah tentu ada kaitan bagaimana hendak selesaikan isu ini dan ia memerlukan pandangan-pandangan baharu dan mungkin fatwa yang baharu untuk diselesaikan.
“Pengalaman negara di luar terutama jiran kita Singapura iaitu negara yang kecil dan bagaimana mereka menguruskan jenazah jadi mungkin ada fatwa baharu dan ini tujuan kita ada konvensyen ini untuk mengambil iktibar dan pengalaman pengurusan bagi konteks JAWI,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas menghadiri Konvensyen Tranformasi Tanah Perkuburan Islam (TPI) dan Pengurusan Jenazah Tahun 2024 di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menambah, JAWI sedang membangunkan sebuah tanah perkuburan awam bersepadu khas untuk warga Wilayah Persekutuan di atas sebuah tanah berkeluasan 220 ekar di Semenyih.
Beliau berkata, selepas penggunaan TPI di Kuala Lumpur sudah penuh, semua jenazah akan dikebumikan di sana.
Pada masa ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai TPI dengan keluasan keseluruhan berjumlah 71.7 hektar.
Secara umumnya terdapat 29 buah TPI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibat 18 TPI Kariah, tiga TPI Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), satu di Wilayah Persekutuan Putrajaya (TPI Perbadanan Putrajaya) dan 21 di Wilayah Persekutuan Labuan (20 TPI Kariah, 1 TPIRS) dengan jumlah keseluruhan 51 buah tanah perkuburan.
Tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan diselenggara dan diuruskan oleh JAWI serta beberapa agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Pengurusan Masjid Kariah.
JAWI juga terlibat secara langsung dalam mengurus dan menyelaras lapan buah TPI Raudhatul Sakinah (TPIRS) iaitu tujuh di Kuala Lumpur dan satu di Labuan.
Selain menguruskan tanah perkuburan, JAWI juga bertanggungjawab menguruskan jenazah sama ada ia berwaris mahupun tidak.
Bagi jenazah yang tidak berwaris dan tidak berkemampuan, JAWI menyediakan khidmat pengurusan jenazah sehingga selesai pengebumian secara percuma. – MalaysiaGazette