JAS Kedah menjalankan siasatan di lokasi penemuan metrik tan sarung tangan lateks terpakai bersama bahan lain di sebuah tapak binaan kilang di Kulim, semalam.

KULIM – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah menemui kira-kira satu metrik tan sarung tangan lateks terpakai bersama bahan lain yang dibuang di sebuah tapak binaan kilang di sini, semalam.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, buangan yang disyaki terjadual itu ditemui perunding ketika menjalankan kajian teknikal di tapak tersebut sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada pihaknya menerusi e-mel pada Jumaat lalu.

Jelas beliau, bertindak atas aduan tersebut, JAS Kedah menjalankan siasatan sebelum mendapati buangan yang ditinggalkan berkemungkinan adalah sarung tangan lateks terpakai dan bersama bahan-bahan lain.

“Kita jalankan siasatan kira-kira enam jam di lokasi bermula pukul 9 pagi dan jumlah buangan yang dijumpai dianggarkan satu metrik tan.

Sampel komposisi telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisa.

“Sampel-sampel berlainan jenis komposisi itu telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk dianalisa.

“Tindakan lanjut akan diambil selepas kita menerima keputusan analisa kimia tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Sharifah Zakiah, sekiranya buangan sisa pepejal itu bukan buangan terjadual kes akan diserahkan kepada SWCORP dan pihak Kulim High Tech Park untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, jika ia tercemar dengan buangan terjadual siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024).

“Kita harap semua pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian pencemaran termasuk pelupusan haram dapat mengemukakan maklumat kepada JAS Kedah,” katanya.

Sekiranya ia tercemar dengan buangan terjadual siasatan akan dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024).

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan semua pihak terutama pemilik premis industri supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam pengurusan buangan premis masing-masing.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran yang mana jika disabitkan kesalahan pelupusan buangan terjadual di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024) boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak lebih RM10 juta.

“Orang awam juga boleh melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast