ISTANBUL- Cadangan baharu dalam pelan gencatan senjata di Gaza sejajar dengan syarat-syarat yang ditetapkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini, dakwa Hamas.
Kumpulan pejuang Palestin itu dalam kenyataan pada Ahad berkata, antara perkara yang diminta Israel adalah tidak mahu gencatan senjata dilaksanakan secara tetap dan enggan menarik diri sepenuhnya dari Semenanjung Gaza.
Israel juga katanya, berkeras untuk terus menjajah Persimpangan Netzarim (yang memisahkan utara dan selatan Semenanjung Gaza), serta tidak mahu keluar dari sempadan Rafah dan Koridor Philadelphi di selatan.
Tegasnya, syarat-syarat baharu itu menyebabkan tiada kesepakatan dapat dicapai dalam rundingan gencatan senjata dan pertukaran tebusan di Doha pada Khamis dan Jumaat lepas.
“Netanyahu turut menetapkan syarat-syarat baharu bagi pertukaran tebusan selain menarik balik beberapa syarat lain yang menyebabkan rundingan tersebut gagal dimuktamadkan,” kata Hamas.
Susulan itu rundingan terbaharu di Doha, Hamas mengesahkan “Netanyahu sekali lagi meletakkan halangan dalam mencapai persetujuan serta menetapkan syarat dan permintaan baharu untuk mensabotaj usaha orang tengah dan berhasrat untuk memanjangkan perang.”
Dalam pada itu, Hamas mengulangi komitmen mereka terhadap cadangan yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan resolusi Majlis Keselamatan PBB pada 2 Julai lalu.
Mereka juga meminta orang tengah untuk “memenuhi tanggung jawab serta memaksa Israel untuk melaksanakan syarat-syarat yang telah dipersetujui lebih awal.
Rundingan genjatan senjata di Doha berakhir Jumaat lalu selepas pembentangan cadangan “untuk merapatkan jurang” di antara Israel dan Hamas yang konsisten dengan prinsip yang telah ditetapkan Biden pada 31 Mei lalu.
Presiden AS itu pada Mei berkata, Israel telah membentangkan tiga fasa perjanjian yang boleh menghentikan keganasan di Gaza dan memastikan tahanan dapat dibebaskan.
Pelan tersebut merangkumi gencatan senjata, pertukaran tebusan dan pembinaan semula Gaza.- Agensi