Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Dua pertuduhan yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kedudukannya dengan menerima sogokan di AmIslamic Bank adalah didakwa tidak berasas dan cacat sama sekali.

Ini kerana Najib tidak pernah berada atau menjejaki kakinya di bank tersebut seperti yang didakwa oleh pendakwaan dalam kes perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pertuduhan itu telah ‘disusun’ dengan begitu teruk sekali sehingga adanya tuduhan kononnya Najib telah melakukan dua kesalahan salah guna kuasa di Ambank.

“Pelik sekali kerana anak guam saya tidak pernah jejak masuk ke Ambank. Mungkin beliau pernah melihatnya dari tingkap kereta ketika melalui jalan tersebut tetapi untuk membuat pertuduhan kononnya beliau telah berada di situ dan menerima sogokan sangatlah tidak berasas dan cacat.

“Daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam prosiding ini, tuduhan itu yang berlaku di AmIslamic Bank melibatkan wang yang diterima masuk dalam akaun anak guam saya.

“Anak guam kami kata tidak pernah ada di Ambank jadi bagaimana pula beliau dapatkan sogokan itu?,” hujahnya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Najib didakwa telah melakukan kesalahan salah guna kuasa dengan melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Prosiding yang sedang bersambung hari ini.

Pendakwaan prosiding 1MDB yang memakan masa 235 hari telah menutup kes pada 30 Mei lepas.

Ketika ini, Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Presiden UMNO itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.

Semua pertuduhan pengubahan haram itu didakwa  antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast