KUALA LUMPUR – Polis memburu empat lelaki bersenjata parang yang disyaki menyamun sebuah kedai barangan perkahwinan dan jahitan di Shah Alam, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada pelanggan kedai tersebut pada jam 12.40 tengah hari semalam.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 2.25 tengahari semalam.
“Semasa kejadian terdapat seramai tiga orang pekerja kedai dan empat orang pelanggan terdiri tiga perempuan India dan satu perempuan Melayu yang berada di dalam kedai tersebut.
“Tiba-tiba mereka didatangi suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan yang memakai topi kaledar dan menutup mulut serta dua daripada mereka bersenjatakan sebilah parang dan sebilah pisau serta bercakap dalam bahasa Tamil.
“Suspek mengambil masa lebih kurang 7 minit untuk melakukan samun tersebut sebelum melarikan diri dari lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati wang tunai peniaga kedai itu berjumlah RM1,000 selain barang kemas yang dipakai tiga orang pelanggan perempuan di premis itu disamun suspek.
Kata Mohd Iqbal, pemeriksaan mendapati tiada kecederaan dialami mangsa.
“Jumlah kerugian yang dianggarkan dalam kejadian samun di kedai perniagaan barang perkahwinan dan menjahit itu kira-kira RM22,000,” ujarnya.
Mohd Iqbal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan dan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian samun itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062. – MalaysiaGazette