KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi India di sini meraikan Hari Kemerdekaan ke-78 dengan penuh gilang gemilang melalui anjuran pelbagai acara kebudayaan negara itu baru-baru ini.
Acara kebudayaan India diadakan saban tahun bagi terus memperkukuhkan hubungan rapat antara negara itu dengan Malaysia selain daripada terus memanfaatkan momentum positif dalam hubungan dua hala India-Malaysia.
Anjuran bersama Pusat Kebudayaan India Netaji Subhas Chandra Bose (NSCBICC) telah membawakan acara khas Swarna Samahora dengan penampilan khas persembahan Odissi oleh kumpulan tarian terkenal pimpinan Guru Dr. Gajendra Panda bertempat di di Auditorium Shantanand, Temple of Fine Arts, Brickfields.
Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, Suruhanjaya Tinggi India teruja kerana dapat meraikan hari kemerdekaan bersama rakyat di negara ini dalam suasana penuh harmoni dan berwarna warni.
“Kita sangat teruja dengan kehadiran ramai hadirin termasuk Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk R Ramanan, Pesuruhjaya Tinggi India, B.N. Reddy, Datuk Ramli Ibrahim, Tan Sri Mazlan Othman dan lebih 300 hadirin yang berkedudukan tinggi khasnya dalam kalangan masyarakat India di negara ini.
“Majlis ini juga telah diserikan dengan persembahan tarian odisi yang menjadi sebutan umum yang bertajuk Prahallad oleh Dr Gajendra Panda dan anak-anak muridnya. Gerak tarian penari-penari penuh dengan kelembutan, pergerakan tubuh yang sempurna, serta ekspresi dan gaya menawan.
“Untuk makluman juga, odisi ini adalah hasil kajian seumur hidup oleh Dr Gajendra Panda yang berkaitan dengan masyarat Odisha. Persembahan ini menggabungkan tarian Odissi dengan teater rakyat Ganjam – Prahallad Natak, “ katanya.
Dalam pada itu, pelbagai alat muzik tradisonal India telah ditaja oleh Majlis Perhubungan Kebudayaan India untuk persatuan-persatuan kebudayaan dalam negara.
Antaranya termasuklah tabla, mridangam, sitar, veena, tanpura, harmonium, pakhawaj dan violin. – MalaysiaGazette