KUALA LUMPUR – “Sebenarnya kita sangat-sangat geram dengar semua isu-isu seperti ini tapi geram sahaja tidak cukup sebaliknya perlu ada tindakan dalam kalangan kita semua.”
Itu reaksi beremosi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri ekoran peningkatan kes jenayah seperti pembunuhan, rogol, penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, sehingga hari ini, pihak kementerian berterusan mengadakan pelbagai advokasi dan kempen kesedaran kepada masyarat umum berhubung apakah tanggungjawab masyarakat setempat dalam menangani isu seumpama itu.
“Ini tanggungjawab semua sebagai masyarakat. Kita perlu sama-sama bertindak, tidak ambil ringan isu sekitar kita walaupun hanya membabitkan perkara seperti dera. Perlu ambil tindakan.
“Macam kami di pihak kementerian kita tidak boleh sesekali putus asa dalam mempromosi kesedaran pada setiap masa (advokasi) dengan pendekatan berbeza pada setiap waktu. Kita sudah ajar umum apa yang perlu dilakukan dari segi membuat aduan dan sebagainya.
“Tapi semua ini tidak cukup kerana melibatkan tanggungjawab semua. Keseluruhan komuniti perlu bersama. Anda boleh tengok sendiri bagaimana reaksi umum apabila berlakunya kes-kes jenayah melibatkan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pembentangan Malaysia Care Economy Forum (CEF) di M Resort & Hotel KL di Bukit Kiara sempena sambutan Hari Wanita ke-63 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) di sini hari ini.
Nancy mengulas soalan berkaitan insiden-insiden menyayat hati seperti kes pembunuhan tersebut yang menjadi tajuk utama berita, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan tentang keselamatan, keadilan dan pencegahan jenayah.
Kebanyakan kes dengan pelbagai modus operandi menyasarkan kanak-kanak serta wanita berlaku satu demi satu dalam tempoh singkat. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Banyak sangat kes jenayah sadis, sesuatu perlu dilakukan segera – Usha