Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif ketika melawat tapak operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa warga India yang terjatuh akibat mendapan tanah yang berlaku di Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk mengkaji struktur tanah bagi memastikan keselamatan di Kawasan Masjid India terjamin.

Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pasukan khas itu akan diaktifkan secepat mungkin bagi memulakan kajian berkenaan dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya.

Katanya, DBKL dimaklumkan oleh JMG bahawa jenis tanah di Kawasan Masjid India ini termasuk lokasi kejadian sesuai untuk diadakan pembangunan.

“Bagaimanapun, pasukan petugas khas itu akan menjalankan kajian terperinci dengan menyemak dan melihat semula kawasan ini untuk memastikan ia selamat digunakan.

“Tetapi maklumat yang diterima daripada JMG mengatakan lokasi kejadian tanah yang biasa serta boleh dijalankan pembangunan di atasnya,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian selepas hadir meninjau petang tadi.

Beliau juga diminta mengulas mengenai kebimbangan menerusi video-video tular di media sosial yang mendakwa bahawa Kuala Lumpur tidak selamat dan berpotensi berlaku ‘giant holes’ (lubang gergasi).

Sebagai menjawab pertanyaan itu, beliau berkata setiap dakwaan itu perlu disokong dengan bukti dan kajian terperinci.

“Saya berpendapat Kuala Lumpur ini dah lama dibina dan selama ini ia selamat digunakan.

“Oleh itu, kalau hendak dikatakan tidak selamat ia mestilah ditunjukkan dengan bukti-bukti dan kajian-kajian yang terperinci.

“Malah, saya juga ingin memaklumkan bahawa premis-premis perniagaan di kawasan ini yang ditutup operasi sejak Jumaat lalu selepas kejadian boleh beroperasi perniagaannya seperti biasa mulai esok (Isnin),” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast