Dr Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA- Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperkukuh kerjasama dengan pakar geologi dan infrastruktur bagi menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden tanah mendap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam kenyataan hari ini berkata, pihak Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL juga akan memperkukuh prosedur operasi standard pembangunan.

Katanya, kedua-dua pihak itu perlu memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu permohonan kelulusan perancangan.

Beliau juga sentiasa berkomunikasi dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif bagi mengenal pasti tindakan segera dan strategi jangka panjang yang boleh dilaksanakan.

“Semua pihak perlu kekal tenang. Keutamaan kami sekarang adalah keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga Kuala Lumpur. Saya juga komited untuk menangani isu ini secara lebih serius.

“Beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini merupakan satu ruang untuk semua pihak termasuk DBKL meneliti dan menambah baik kaedah pemantauan serta tindak balas kepada insiden seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, beliau juga berkomunikasi dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia BN Reddy mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat wanita negara itu yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lepas.- MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast