JOHOR BAHRU – Polis menahan seramai 41 individu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk menerusi Ops Mabuk di seluruh negeri sejak Jumaat hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, mereka terdiri daripada 39 pemandu lelaki dan dua wanita yang ditahan bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Semua 42 individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 68 tahun itu dibawa balik ke balai untuk tindakan lanjut.
“Polis juga mengeluarkan 625 saman dengan seorang lelaki ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Sebanyak 625 keping saman Pol. 257 itu melibatkan pelbagai kesalahan dan 1,824 individu serta 1,585 buah kenderaan turut diperiksa,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Katanya, operasi khas itu dijalankan kerana kesedaran masyarakat tentang bahaya pengambilan alkohol ketika memandu masih lagi rendah dan sangat membimbangkan.
“Kesan alkohol tanpa kita sedar menyumbang kepada kemalangan dan kematian. Jangan leka dengan keseronokan sehingga mengabaikan aspek keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Kumar berkata, pindaan Seksyen 45A(1) APJ 1987 yang dibuat kerajaan dengan tujuan memberi pengajaran dan hukuman yang setimpal kepada pesalah alkohol berkuat kuasa 22 Oktober 2020 itu menunjukkan betapa seriusnya isu berkenaan.
“Selepas beberapa insiden yang tular dalam media sosial sehingga meragut nyawa yang tidak berdosa kesan daripada memandu dalam pengaruh alkohol, akta ini dipinda kerajaan, bagaimanapun, masih terdapat pemandu yang tegar mengambil alkohol ketika memandu dan seolah-olah tidak
gerun dengan hukuman yang dikenakan,” katanya.
Pada masa sama, Kumar berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor (JSPT) akan terus menjalankan Op Mabuk itu dalam memastikan kesalahan terbabit dapat dibendung secara berterusan melalui pendekatan konsep penguatkuasaan menyeluruh.
“Tiada kompromi terhadap golongan ini dan hukuman berat serta setimpal menunggu jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.- MalaysiaGazette