KUANTAN – Seorang pekerja kedai serbaneka cedera dipukul pelanggan menggunakan topi keledar di Bentong, tengah malam semalam.

Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (cctv) berdurasi dua minit dua saat yang tular di aplikasi X, selain mencederakan mangsa berusia 19 tahun, suspek turut merosakkan barangan jualan di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 12.10 pagi.

“Hasil rakaman cctv dan maklumat orang awam, pada jam 1.40 tengah hari tadi Polis Bentong telah berjaya menangkap tiga lelaki bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 27 tahun hingga 36 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zaiham, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara mereka yang terlibat dan membawa kepada pertengkaran mulut.

Berikutan kejadian berkenaan, mangsa yang mengalami kecederaan telah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bentong.

Sementara itu, Zaiham memberitahu, hasil semakan mendapati dua daripada tiga suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast