KUALA LUMPUR – Tular rakaman video memaparkan penyanyi Hafiz Suip didakwa ditumbuk seorang lelaki selepas terbabit dalam pergaduhan akibat provokasi di jalan raya di Kuching, Sarawak.

Saksi kejadian, Uthman Daud menjelaskan, pertelagahan itu menjadi semakin hangat selepas Hafiz dan individu berkaitan berhenti di tengah jalan.

“Assalamualaikum. Mungkin ada yang dah tengok video tular pergaduhan Hafiz Suip yang berlaku selepas solat Jumaat tadi.

“Selepas solat kami dalam perjalanan untuk membeli hamper ziarah rumah keluarga peminat Hafiz Suip yang meninggal dunia kerana semalam adalah hari ke-100 pemergiannya.

“Ketika dalam perjalanan, ada sebuah kenderaan ‘mencucuk’ dari belakang. Maka, provokasi pun berlaku antara kedua-dua pihak. Kemuncaknya adalah apabila pemandu tersebut berhentikan kereta kami.

“Kedua-duanya marah dan keluar dari kenderaan. Tiba-tiba pemandu tersebut semburkan ke muka Hafiz dengan ‘pepper spray’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, beliau cuba meleraikan situasi itu namun pemandu terbabit tetap meluru ke arah pelantun lagu Awan Nano dan juga Uthman yang menaiki satu kenderaan.

“Dalam keadaan saya cuba leraikan, muka saya juga disiku dan disembur cecair sama, jadi saya pun melepaskan tumbukan selepas melihat dia terlalu agresif,” ujarnya.

Difahamkan, Uthman yang merupakan rakan kepada Hafiz kini sedang menerima rawatan di hospital dan laporan polis juga telah dibuat.

“Selepas itu, kami ke balai polis untuk membuat laporan dan sekarang masih di hospital bagi menerima rawatan kerana kulit masih pedih hingga kini,” jelasnya.

Terdahulu, tular video di aplikasi yang memaparkan kelibat Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 34, ditumbuk seorang lelaki.

Hafiz dilihat menghentak but hadapan sebuah kereta milik lelaki terbabit sehingga membuatkannya ditumbuk. – MalaysiaGazette