Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Foto: BAM

KUALA LUMPUR – Pasangan beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menambah seri sambutan Hari Kebangsaan ke-67, selepas melangkah ke final Terbuka Korea 2024 di Stadium Tertutup Mokpo di Seoul, hari ini.

Gandingan nombor sembilan dunia itu tampil unggul, apabila hanya memerlukan 50 minit untuk mengalahkan pasangan China Cheng Xing-Zhang Chi 22-20, 21-19, pada pertembungan separuh akhir kejohanan berstatus Super 500 itu.

Di pentas final esok, Tang Jie-Ee Wei akan menentang pasangan bukan pilihan dari China, Guo Xin Wa-Li Qian, selepas mengejutkan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-14, 22-24, 21-10 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Ia juga bakal menjadi pertemuan sulung Tang Jie-Ee Wei dan pasangan China itu.

Ini merupakan final ketiga Tang Jie-Ee Wei pada tahun ini selepas muncul naib juara Masters Thailand pada Januari lepas dan Terbuka Switzerland pada Mac.

Sementara itu, bekas pemain badminton negara, Goh Liu Ying mengakui permainan beregu campuran negara itu semakin matang selepas melakukan penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, berkata penampilan di temasya berprestij itu berjaya membantu Tang Jie-Ee Wei memenuhi potensi sebenar yang ada pada pasangan tersebut.

“Walaupun gagal di suku akhir di penampilan pertama mereka di Olimpik tapi saya nampak permainan mereka semakin bagus sekarang.

“Bermain di temasya terbesar seperti Olimpik memang banyak bantu mereka dari segi mental, jadi ia kelebihan untuk mereka di kejohanan yang lain,” katanya ketika ditemui pada Program Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya 2024 di sini, hari ini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast