KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini dimaklumkan tentang permohonan representasi oleh empat individu dipercayai terlibat dalam kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan Mei lepas.
Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nu’aman Mahmud Zuhudi, peguam mewakili keempat tertuduh memaklumkan perkara itu.
Kata peguam, Haziq Aizuddin Subhi, representasi pertama itu dihantar semalam dan sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pihaknya juga meminta tarikh baharu bagi sebutan kes dan tidak dibantah pendakwaan.
Hakim kemudian menetapkan 25 September ini bagi mengetahui status representasi.
Empat tertuduh itu, Muhammad Hasan Abd Hamid, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, M Preemraj, dan Nor Rahman Sadik telah melakukan kesalahan itu di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini.
Mereka didakwa bersubahat bersama-sama suspek yang masih bebas melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan itu pada 9 Mei jam 2.17 pagi.
Jika sabit salah, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 Kanun sama. – MalaysiaGazette
Suspek kelima kes baling bom petrol di pusat hiburan ditahan