Reezal Merican Naina Merican
KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu memahami betapa penting pensijilan halal yang memainkan peranan yang kritikal bagi memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa yang mana pasaran halal produk dan perkhidmatan dijangka bernilai AS$5 trilion (RM21.7 trilion) pada tahun 2030.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Malaysia yang tampil sebagai peneraju dalam industri halal global menetapkan standard kecemerlangan dan inovasi yang menjadi penanda aras.
Jelas bekas menteri Kabinet itu, kepimpinan Malaysia dalam sektor ini sukar dipertikaikan, sentiasa menjangkau batas baharu dan meningkatkan piawaian di peringkat antarabangsa.
Sebagai perintis tambahnya, Malaysia bukan sahaja memperkukuh posisinya sebagai pihak berkuasa yang dipercayai tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi halal global di mana usaha ini memastikan pertumbuhan, kelestarian dan integriti industri terjaga.
“Usaha pembangunan halal negara dipacu oleh pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan. Di bawah MITI misalnya, terdapat dua agensi yang memainkan peranan penting dalam industri halal iaitu Matrade dan  Halal Development Corporation Bhd. (HDC).
“HDC merupakan antara agensi di bawah MITI yang melaksanakan khidmat sokongan pra-pensijilan bagi membolehkan pemain industri cakna dan patuh dengan syarat permohonan.
“HDC juga membantu mempercepatkan proses permohonan sijil Halal melalui penyempurnaan dokumentasi sebelum dihantar kepada JAKIM,” katanya di Facebook miliknya di sini.
Selain itu Reezal memberitahu, HDC juga berperanan menyelaras usaha mengkaji semula standard, pembangunan industri tempatan, promosi produk dan perkhidmatan halal bagi memudahkan pertumbuhan industri halal negara.
Dalam menyokong peranan HDC, Matrade kata beliau giat mempromosikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran antarabangsa.
Sebagai agensi penggalakan perdagangan negara, tambahnya, Matrade juga memainkan peranan strategik dengan membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran global yang lebih luas melalui program pemasaran dan promosi.
“Kerjasama rapat antara Matrade dan HDC memastikan produk halal Malaysia dikenali dan diterima di peringkat antarabangsa, seterusnya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama dalam industri Halal global.
“Sumbangan halal kepada eksport pada tahun 2023 adalah sebanyak RM53.72 bilion dan dijangka meningkat ke RM75.2 bilion pada tahun 2030.
“Lebih signifikan, industri halal telah menyumbang sebanyak 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 (RM108.5 bilion) dan dijangka meningkat kepada 10.8 peratus menjelang tahun 2030 (RM231.1 bilion).
“Ini menunjukkan potensi dan peranan strategik industri halal dalam memperkasa ekonomi negara, serta peluang besar yang dapat diterokai oleh peniaga dalam dan luar negara,” katanya.
Tambahan pula kata Reeza, beberapa acara perdagangan antarabangsa kini memberikan fokus khusus kepada produk halal sebagai contoh, pameran Sial Paris dan Anuga Jerman telah mula menonjolkan produk halal sebagai segmen penting.
“Malaysia juga merupakan hos kepada pameran halal terbesar di dunia yang dianjurkan oleh MATRADE iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada 17-20 September 2024 di MITEC.
“Setiap tahun, MIHAS berjaya meningkatkan jumlah penyertaan pempamer dari dalam dan luar negara. Perkembangan ini menunjukkan bahawa industri halal semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Secara keseluruhannya, statistik dan perkembangan terkini ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam menerajui industri halal global,” katanya.
Reezal memberitahu, Matrade memahami kebimbangan syarikat-syarikat Malaysia dan akan kekal komited untuk terus memberikan sokongan yang diperlukan bagi memastikan pensijilan halal merupakan proses yang memberikan faedah dan bukan bebanan kepada syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya pengeksport.
“Komitmen teguh Malaysia terhadap amalan halal terus memberi inspirasi dan membina keyakinan di peringkat global, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam industri yang pesat berkembang ini.
“Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kepentingan dan kelebihan pensijilan Halal kepada semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast