KUALA LUMPUR – Kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan perlu menyiapkan segera projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) sebagai persediaan mendepani ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.
Pemerhati politik antarabangsa, Muhammad Ehsan Shaari berkata, kelewatan penyerahan LCS secara tidak langsung telah menonjolkan kelemahan dalam pertahanan maritim negara.
Jelas beliau yang juga Pegawai Penyelidik, Yayasan Kedah Sejahtera, kehadiran kapal pengawal pantai dan tentera laut China di kawasan yang dituntut Malaysia menjadikan negara semakin terdedah kepada pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Tanpa LCS, tambahnya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa bergantung kepada kapal lama yang kurang canggih sekali gus menyukarkan Malaysia untuk bertindak balas secara efektif terhadap ancaman China.
“Ini menunjukkan betapa kritikalnya keperluan memperkukuh pertahanan negara ketika China semakin agresif dalam memperluaskan tuntutannya.
“Keadaan ini turut mengancam kepentingan ekonomi negara, terutamanya dalam operasi minyak dan gas di perairan Sabah dan Sarawak.
“Kapal LCS yang dilengkapi teknologi moden amat penting untuk menangkis ancaman ini dan menunjukkan kehadiran ketenteraan yang lebih signifikan di perairan yang dipertikaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Sementara itu, tambah Muhammad Ehsan, selain mempercepatkan penyelesaian projek LCS, kerajaan juga perlu memperteguhkan diplomasi dengan China dan negara-negara ASEAN melalui dialog tegas dalam usaha mewujudkan Kod Tatalaku (Code of Conduct) di Laut China Selatan.
Jelas beliau, kerajaan perlu memastikan operasi minyak dan gas di perairan Malaysia tidak terganggu, sambil melindungi kepentingan ekonomi negara di tengah-tengah ancaman maritim yang semakin meningkat.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan juga perlu meningkatkan keupayaan ketenteraan TLDM dengan menambah peruntukan bagi memodenkan aset pertahanan negara.
“Dengan Belanjawan 2025 yang semakin hampir, kerajaan perlu memberi perhatian khusus kepada peningkatan perbelanjaan untuk Kementerian Pertahanan.
“Peningkatan belanjawan ini bukan sahaja penting untuk mempercepatkan projek LCS, tetapi juga bagi memperkukuh keseluruhan keupayaan pertahanan negara,” katanya.
Tambah beliau, dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks di Laut China Selatan, perbelanjaan tambahan itu amat kritikal untuk menjamin keselamatan maritim dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Sejak awal tahun ini, China dilaporkan meningkatkan keberadaan pasukan tentera dan pengawal pantai di Laut China Selatan khususnya di zon pertindihan ZEE.
Kehadiran pasukan tentera dan pengawal negara itu turut menyebabkan beberapa insiden pertembungan dengan tentera Filipina dengan kejadian terkini dilaporkan pada 31 Ogos lalu.
Dalam pada itu, kapal tentera China juga dilaporkan berlegar di perairan Sarawak, Sabtu lalu, dan Wisma Putra dalam kenyataan turut mengesahkan menerima laporan kehadiran kapal tentera laut asing berhampiran pelantar minyak luar pesisir di negara ini. – MalaysiaGazette