Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kini muncul antara tiga pemain terbaik dunia selepas kali terakhir menghuni kedudukan pemain nombor dua awal tahun lalu.

Berdasarkan kemaskini terbaharu ranking dunia dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini,  Zii Jia naik satu tangga meskipun tidak beraksi dalam kejohanan sejak tersingkir di pusingan pertama Terbuka Jepun dua minggu lalu.

Kedudukan ranking Zii Jia selepas pemain Indonesia, Jonatan Christie kehilangan mata susulan pencapaian separuh akhir Terbuka China tahun lalu yang berlangsung pada minggu ke-36 dan dia jatuh daripada kedudukan nombor tiga ke nombor tujuh dunia.

Pemain China, Shi Yuqi kekal sebagai pemain nombor satu dunia manakala juara Olimpik dua kali, Viktor Axelsen di tempat kedua.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan sejak Februari lalu selepas dua kali jalani pembedahan jatuh tiga anak tangga di kedudukan ke-25 dunia.

Bagaimanapun, dengan Tze Yong memperoleh perlindungan ranking, dia tidak berdepan masalah untuk kembali beraksi dalam kejohanan utama berdasarkan kedudukan ranking terakhirnya di tangga ke-18.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik jatuh daripada nombor tiga dunia ke kedudukan kelima selepas kehilangan mata daripada pencapaian naib juara Terbuka China tahun lalu.

Beregu lelaki kekal acara terbaik buat Malaysia apabila empat pasangan dalam kedudukan 20 terbaik dunia. Tiga lagi gandingan iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang kini bergerak secara profesional di kedudukan ke-12, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (17) dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri (19).

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing kekal kedudukan nombor lapan dan sembilan dunia. Perseorangan wanita, Goh Jin Wei jatuh daripada kedudukan ke-31 ke 33 dunia. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here