Gambar hiasan.

AMPANG – Polis hari ini mengesahkan penemuan dua lelaki yang ditemui tidak sedar diri dalam kenderaan di Jalan Persiaran, Taman Ampang Saujana di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima panggilan penemuan dua individu itu daripada orang awam

Bertindak atas panggilan itu, ambulans dari Hospital Ampang yang tiba di lokasi telah memeriksa kedua-dua mangsa sebelum disahkan telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut polis di tempat kejadian mendapati kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa berada dalam keadaan enjin masih hidup dan keempat-empat pintu dan keempat-empat cermin dalam keadaan tertutup.

“Apabila pintu pemandu dan penumpang di hadapan dibuka didapati dua orang lelaki tidak sedarkan diri dalam keadaan mulut berbuih dan pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua simati mendapati tiada sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa adalah warga tempatan, berumur 30 tahun dan bekerja sebagai “call man” (penarik kereta kemalangan).

“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk proses dibedah siasat pada hari ini dan keputusan bedah siasat adalah “pending laboratory analysis” (menunggu keputusan makmal).

“Setakat ini, polis tidak mengesan sebarang elemen jenayah ke atas kedua-dua simati dan kes telah dikalsifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” ujarnya.-MalaysiaGazette